suria

Serangan Jantung Boleh Menyerang Remaja Seawal 15 Tahun

KOTA BAHARU: Serangan jantung yang akhirnya membawa maut dikesan boleh menyerang golongan muda seawal umur 15 tahun termasuk para atlet, kata Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia Datuk Dr Rosli Mohd Ali.

Beliau berkata ia dikesan berpunca daripada faktor pemakanan serta cara mereka bekerja dan faktor genetik.

"Tidak semestinya orang yang aktif seperti atlet tidak terkena serangan jantung kerana penyakit itu boleh menyerang berdasarkan faktor risiko termasuk mempunyai penyakit kencing manis, perokok, kolestrol tinggi, kegemukan dan sejarah keluarga.

"Atlet juga disyorkan membuat pemeriksaan dan penjagaan kerana kita sekarang ini ada kes mereka yang sedang bermain golf, bersenam, tiba-tiba meninggal dunia
disebabkan serangan jantung," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Kemaskini Kardiovaskular Asia Pasifik Kali Kelapan @ Universiti Sains Malaysia (USM) 2014 di sini, hari ini. 

Katanya berdasarkan kajian Daftar Penyakit Kardiovaskular Kebangsaan 2009, serangan jantung di Malaysia secara purata dikenal pasti dialami mereka berusia
59 tahun.

Beliau berkata ia bermakna rakyat di negara ini dikategori `mati muda' iaitu sebelum mereka berpencen.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) berkata terdapat dalam kalangan mereka berusia 15 hingga 35 tahun itu mati
mengejut yang berpunca daripada serangan jantung itu.

Katanya, lebih membimbangkan 40 peratus daripada orang yang diserang penyakit jantung di negara ini tidak tahu mereka menghidap penyakit berkenaan. 

"Dua puluh tujuh peratus kematian di hospital di negara ini disebabkan penyakit jantung, malah kematian mengejut dalam kalangan orang muda diakui
adalah trend baharu dan perlu ditangani," katanya.
serangan jantung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain