suria

Malaysia Akan Bela Nasib Kank-Kanak Mangsa Konflik Bersenjata

Hussein Haniff.
KUALA LUMPUR: Nasib kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam konflik bersenjata adalah antara isu utama yang akan diperjuangkan Malaysia sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC), kata Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff.

Beliau berkata Malaysia menyambut baik laporan Wakil Khas Setiausaha Agung bagi Kanak-kanak Dalam Konflik Bersenjata dan memuji kebaikan kempen 'Kanak-kanak, Bukan Askar' yang dilancarkan wakil khas itu serta Unicef.
 
"Kami akui ini suatu usaha besar dan berharap kempen ini akan berjaya menghentikan pengambilan serta penggunaan kanak-kanak oleh pasukan bersenjata kerajaan yang terlibat dengan konflik, menjelang 2016," katanya.

Hussein berkata demikian ketika berucap mengenai Agenda Perkara 64: Meningkatkan dan Melindungi Hak Kanak-kanak Jawatankuasa Ketiga di New York pada Jumaat. Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini, Sabtu.

Mengenai keganasan terhadap kanak-kanak, beliau berkata kemiskinan, ketidaksamarataan pendapatan, kestabilan politik dan konflik adalah antara faktor yang dikenal pasti boleh meningkatkan risiko keganasan.

"Keganasan terhadap kanak-kanak adalah perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali, jadi satu pakatan pintar antarabangsa perlu segera diadakan bagi menangani punca utama masalah ini dan satu mekanisme perlu diwujudkan bagi menghentikan dan mencegah keganasan terhadap kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata penyertaan dan usaha generasi sekarang mestilah berupaya melahirkan generasi masa depan yang dapat menjamin kelangsungan hidup, pembangunan dan kemakmuran sesebuah negara.
 
"Sejajar dengan itu, Malaysia ingin mengulangi komitmennya terhadap usaha melindungi dan meningkatkan pembelaan hak kanak-kanaknya.
 
"Melindungi kanak-kanak kami menjadi keutamaan kerana merekalah yang akan memelihara kesejahteraan masyarakat, negara dan masa depan kami semua," katanya.

Ketika berucap mengenai Agenda Perkara 77 Program Bantuan Pengajaran, Pembelajaran, Penyebaran dan Peningkatan Penghargaan Undang-undang Antarabangsa PBB pada Persidangan Ke-69 Jawatankuasa Keenam Perhimpunan Agung PBB di New York pada hari yang sama, Hussein berkata Malaysia ingin melihat program itu terus mendapat pembiayaan.

"Program bantuan ini penting dalam usaha kita untuk mengukuhkan kedaulatan undang-undang dari segi hubungan antarabangsa kerana ia mendidik manusia di seluruh dunia serta merupakan langkah penting untuk memupuk persefahaman dalam kalangan negara anggota," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia mengulangi sokongannya dan akan terus menjadi rakan dialog yang aktif bagi Afrika dalam rangka kerja kerjasama Selatan-Selatan.

Katanya Malaysia berharap lebih banyak negara akan menyertai aktiviti ekonomi Afrika pada masa akan datang untuk meningkatkan kemajuan Afrika secara menyeluruh.

Hussein berkata demikian ketika berucap mengenai Agenda Perkara 63: Perkongsian Baharu bagi Pembangunan Afrika: Kemajuan Dalam Pelaksanaan dan Sokongan Antarabangsa serta Agenda Perkara 13: 2001-2010: Dekad Untuk Menghapuskan Malaria di Negara Membangun, khususnya Afrika pada sidang pleno Persidangan ke-69 Perhimpunan Agung PBB.
UNSC, PBB

Artikel Lain