suria

Kabinet Bincang Pendekatan Teruskan Rundingan FTA Malaysia-EU

MILAN: Kabinet akan berbincang bentuk pendekatan yang sesuai untuk melaksanakan perunding negara bagi meneruskan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sebelum rundingan FTA Malaysia-EU memasuki pusingan selanjutnya selepas lapan pusingan diadakan, perunding negara perlu mendapatkan mandat baharu daripada kerajaan.

"Bila berbekalkan mandat baharu, baru boleh merundingkan perkara ini," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir beliau di sini pada Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM).

Ketika berucap pada Forum Perniagaan Asia-Eropah (AEBF) sempena ASEM pada Khamis, Najib memberi isyarat bahawa perbincangan FTA Malaysia dan EU perlu diteruskan selain menegaskan bahawa Malaysia menyokong kuat dasar perdagangan bebas.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kelewatan berlaku dalam rundingan FTA Malaysia-EU itu ekoran timbul isu yang melangkaui soal perdagangan dan pelaburan.

Ia antara lain melibatkan pemerolehan kerajaan, hak harta intelek, alam sekitar dan buruh, katanya.

Dalam pemerolehan kerajaan, Najib berkata ia mungkin akan menyentuh soal keutamaan yang diberikan kepada syarikat Bumiputera, manakala dalam aspek alam sekitar pula, EU meminta Malaysia mengambil tindakan untuk pembangunan mampan.

Beliau berkata isu-isu tersebut memerlukan fleksibiliti antara kedua-dua pihak bagi merealisasikan hasrat rundingan FTA itu.

Berikutan timbul isu-isu tersebut, agak sukar untuk menetapkan tempoh untuk memuktamadkan rundingan FTA Malaysia-EU.

"Kita jangkakan proses ini memakan masa sedikit. Namun demikian ia merupakan satu prospek yang kita perjuangkan kerana ini akan membawa kepada integrasi yang lebih kukuh antara dua wilayah iaitu Asean dan EU," katanya.

Rundingan FTA Malaysia-EU dimulakan pada Oktober 2010, dan sepatutnya diselesaikan pada akhir tahun 2012.

Najib berkata jumlah dagangan antara EU dan Malaysia untuk tempoh Januari-Julai 2014 bernilai kira-kira RM81.59 bilion, meningkat 7.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2013.


Malaysia, Milan, EU

Artikel Lain