suria

624 Kes Perlanggaran Skim Kawalan Harga Tahun Baru Cina, Aidilfitri

MELAKA: Sebanyak 624 kes perlanggaran harga barang dicatat pada Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri tahun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata sebanyak 488 kes perlanggaran harga barang dengan kompaun berjumlah RM53,250 dicatat pada Skim Kawalan Harga Sempena Tahun Baharu Cina, manakala 136 kes dengan kompaun RM15,850 dicatat pada Skim Kawalan Harga Sempena Aidilfitri.

Katanya barangan dengan nilai RM27,269.67 telah dirampas daripada peniaga runcit dan borong kerana melanggar Skim Kawalan Harga Tahun Baharu Cina dan barangan bernilai RM10,563.35 dirampas pada Skim Kawalan Harga Sempena Aidilfitri.

"Pada Skim Kawalan Harga Sempena Deepavali yang bermula hari ini saya memohon kerjasama semua peniaga supaya tidak menaikkan harga melebihi harga siling," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau harga barang di Pasar Besar Melaka Sentral, Peringgit di sini, Sabtu.

Pada Isnin lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan 14 jenis barangan diletakkan bawah Skim Kawalan Harga Sempena Deepavali bermula hari ini sehingga 27 Okt depan.

Hasan berkata pada tahun lepas sebanyak 656 kes perlanggaran harga barang dicatat pada Skim Kawalan Harga sempena Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas.

Beliau berkata kompaun berjumlah RM72,050 dikeluarkan pada skim kawalan harga musim perayaan tersebut dengan nilai rampasan berjumlah RM290,926.05.

Katanya KPDNKK menyediakan kaunter aduan di tempat tumpuan orang ramai di seluruh negara seperti pasar besar bagi memudahkan orang ramai membuat aduan secara terus sekiranya terdapat perlanggaran peraturan kepenggunaan terutamanya melibatkan harga barang.

"Jika rasa tertipu, jumlah diberi peniaga tidak betul ataupun tidak puas hati dengan harga barang, pengguna boleh terus buat aduan di kaunter KPDNKK dan pegawai kami akan terus ambil tindakan keluarkan kompaun atau didakwa di mahkamah sekiranya benar," katanya.


Skim Kawalan Harga, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Lain