suria

Penganggur Edar Dadah Untuk Sara Keluarga Dipenjara Lapan Tahun

IPOH: Seorang penganggur sanggup menjadi pengedar dadah untuk menanggung isteri dan anaknya yang masih kecil.

Sew Teck Keong,  yang pada ketika itu berusia 28 tahun dikatakan telah dipujuk oleh rakannya untuk menerima 'pekerjaan' mengedar dadah yang dikatakan boleh membawa kepada kehidupan yang mewah.

Ia adalah satu langkah yang sia-sia apabila Teck Keong kini terpaksa menjalani hukuman penjara selama lapan tahun.

Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin, yang menjatuhkan hukuman itu juga memerintahkan Teck Keong disebat 10 kali.

Dia mengaku bersalah memiliki 62.88 gram methamphetamine di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya di Mahkamah Tinggi di sini Rabu.

Teck Keong pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 39B Akta yang sama, yang membawa hukuman mati kerana mengedar dadah.

Mengikut fakta kes, polis menahan Teck Keong ketika dia  turun dari keretanya berhampiran Taman Mutiara di Chemor, kira-kira 20 km dari sini, kira-kira pukul 12.30 malam, 26 Februari 2013.

Dadah ditemui di dalam kereta.

Noorin memerintahkan Teck Keong menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap.

Peguam J. Harikrishnan, meminta hukuman diringankan bagi pihak tertuduh, dengan berkata tertuduh dan isterinya tidak bekerja dan memerlukan wang untuk keluarga.

"Dia disokong oleh kawan-kawannya dari segi kewangan dan mereka mempengaruhinya untuk terbabit dengan aktiviti ini (dadah).

"Pada masa itu, dia tidak mempunyai pilihan kerana dia memerlukan wang," kata Harikrishnan, sambil menambah Teck Keong telah dipenjarakan sejak dia ditangkap dan dia telah insaf dan telah berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Harikrishnan berkata dengan mengaku bersalah Teck Keong telah menjimatkan masa dan kos mahkamah, sambil menambah bahawa anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan tidak berpendidikan tinggi.

Hakim berkata kurangnya pendidikan bukan satu isu kerana terdapat poster dan iklan peringatan berkaitan pengedaran dadah.
penganggur, edar dadah

Artikel Lain