suria

JKM Sokong Jika Hak Jagaan Anak-Anak Azizul Raheem & Shalwati Dikembalikan Semula

PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyokong jika hak penjagaan empat anak pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal dikembalikan semula kepada ibu bapa mereka memandangkan kedua-duanya telah dibebaskan dan kembali ke tanah air.

Ketua Pengarahnya, Datuk Norani Mohd Hashim berkata namun segala keputusan berkaitan status penjagaan itu terletak di bawah kuasa Kementerian Luar.

"JKM hanya menunggu arahan Wisma Putra jika diminta pandangan berhubung perkara tersebut," katanya dalam sidang media selepas majlis 'Pra Pelancaran Anugerah Pingat Hang Tuah tahun 2014 di sini, Isnin.

Beliau berkata JKM sememangnya berharap supaya ikatan antara mereka sekeluarga dapat disatukan semula setelah hampir setahun terpisah.
 
"Semoga kesulitan yang berlaku antara mereka dapat menemui jalan penyelesaian apatah lagi tiada tempat terbaik untuk kanak-kanak selain berada di bawah jagaan ibu bapa kandung sendiri," katanya.

Hak penjagaan empat anak pasangan itu Aishah, 15; Ammar, 13; Adam, 12 dan Arif ,8 kini masih diletakkan di bawah penjagaan ibu saudara mereka, Shaleena Norshal di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor, Kelantan.

Pada 28 Mac lepas, Mahkamah Daerah Solna di Stockholm, Sweden menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap Shalwati bagi kesalahan mengasari serta mencabuli integriti anak-anak mereka.

Namun, mahkamah mengurangkan hukuman penjara mereka apabila masing-masing hanya perlu menjalani dua pertiga daripada jumlah hukuman yang diputuskan sebelum itu.

Azizul Raheem dibebaskan pada 9 Julai lalu manakala Shalwati dibebaskan dari penjara pada 29 September lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata JKM tidak lagi memberikan perkhidmatan kaunseling kepada empat beradik itu atas permintaan anggota keluarga mereka.

 
"Bagaimanapun, JKM bersedia menawarkan khidmat kaunseling jika diperlukan dan bersedia pada bila-bila masa sahaja sekiranya diperlukan oleh keluarga Azizul Raheem," katanya.

Terdahulu, JKM mengajak kanak-kanak warga Malaysia berumur 18 tahun ke bawah dan telah membantu menyelamatkan nyawa sepanjang 1 Januari sehingga 31 September tahun ini serta tidak pernah memiliki rekod jenayah atau terlibat dengan sebarang kes akhlak dan moral supaya menghantar penyertaan Anugerah Pingat Hang Tuah 2014.

Pemenang anugerah Pingat Hang Tuah bakal menerima pingat, piala iringan, wang tunai RM5,000, sijil perhargaan dan sepersalinan pakaian kebangsaan dan orang ramai yang mempunyai cadangan untuk mencalonkan kanak-kanak boleh mendapatkan borang pencalonan dari laman sesawang, www.jkm.gov.my sebelum 27 Oktober ini.

Pemenang akan diumumkan semasa sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat kebangsaan kali ke-53 yang diadakan serentak bersama Hari Warga Emas Sedunia peringkat negara kali ke-22 yang dijangka diadakan di Dewan Wawasan, Alor Setar, Kedah pada 1 November ini.


Artikel Lain