suria

Paras Air Empangan Capai 40 Peratus Selepas Hampir Lima Bulan

Empangan Sungai Selangor
PETALING JAYA: Buat pertama kali dalam tempoh hampir lima bulan, paras air di Empangan Sungai Selangor telah melepasi paras 40 peratus.

Empangan tersebut, yang membekalkan 60 peratus air untuk isi rumah di Lembah Klang telah menunjukkan paras air yang di antara 30 hingga 40 peratus dalam beberapa bulan lepas, mencetuskan kebimbangan ramai tentang kemungkinan tindakan catuan air dilaksanakan sekali lagi.

Menurut laman web  Lembaga Urus Air Selangor  (Luas), empangan itu mencatatkan kapasiti 40.16 peratus air sehingga 8 pagi Jumaat.

Kapasiti sebanyak 30 peratus adalah tahap kritikal dan dalam tempoh sebulan setengah awal tahun ini, penduduk di Lembah Klang terpaksa menjalani catuan air kerana tahap air empangan yang rendah kira-kira 31 peratus.

Hujan yang telah menyebabkan banjir kilat di kawasan utara dan bahagian-bahagian di Lembah Klang sedikit sebanyak telah menyumbang kepada kenaikan paras air di empangan.

"Kita bernasib baik," kata Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) S. Piarapakaran.

"Tetapi kita perlu terus berharap ia berterusan dan mengurangkan penggunaan air pada setiap masa."

Beliau menambah tidak ada apa-apa yang perlu digembirakan memandangkan tahap 'selamat' yang ditetapkan oleh Luas adalah 55 peratus dan jika ia mengambil masa lebih dari sebulan untuk meningkatkan tahap air empangan sebanyak 10 peratus, ia akan mengambil tempoh masa yang sama dengan corak cuaca yang sama, untuk mencapai tahap optimum.

"Terdapat permintaan kukuh untuk bekalan air daripada pengguna dan industri.

"Fungsi empangan Sungai Selangor bersama-sama dengan empangan Sungai Tinggi yang lebih kecil adalah bagi menyediakan air dan jika kita sering berdepan dengan situasi seperti ini dengan dua empangan itu, kita perlu terus memulihara air sehingga loji air Langat 2 siap," kata Piarapakaran.

Projek Loji Air Langat 2 yang dijangka siap pada pertengahan tahun 2017, berfungsi untuk menyediakan bekalan air yang mencukupi kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Mengenai corak cuaca, jurucakap Jabatan Meteorologi Dr Hisham Mohd Anip berkata tidak banyak hujan dijangka di semenanjung kerana kehadiran taufan super Vongfong di Filipina dan taufan Hudhud di teluk Bengal, India.

"Keadaan ini akan berubah apabila kedua-dua taufan hilang pada awal minggu depan dan corak cuaca kita kembali kepada peralihan monsun biasa, dengan hujan yang lebih lebat dan ribut petir pada sebelah petang di negeri-negeri pantai barat Semenanjung," kata Hisham.

Artikel Lain