suria

Bajet 2015: Agihan Peruntukan Pendidikan Perlu Sama Rata

Datuk Ruslan Madon.
PETALING JAYA: Agihan peruntukkan untuk sektor pendidikan perlu dilaksanakan secara sama rata terutamanya kepada sekolah luar bandar yang daif dan memerlukan bantuan segera. 


Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Datuk Ruslan Madon berharap perkara itu mendapat pertimbangan sewajarnya pihak bertanggungjawab bagi menjamin kesamarataan di semua peringkat dalam bidang pendidikan. 

Beliau juga berharap  jumlah pengawal keselamatan di sekolah dapat ditambah terutamanya pada waktu sesi persekolahan sebelah pagi. 

"Kita harap agihan ini diberikan secara sama rata, terutamanya sekolah di kawasan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak. 

"Selain itu, saranan menambah jumlah pengawal keselamatan di setiap sekolah terutama pada sesi persekolahan pagi kerana ketika ini hanya terdapat dua hingga tiga pengawal keselamatan sahaja bertugas.

"Perlu juga diambil perhatian supaya pengawal keselamatan yang diambil bekerja terdiri daripada warga tempatan bukan warga asing,” katanya. 

Ruslan menambah, Sekolah Amanah wajar diwujudkan di setiap negeri kerana program berkenaan sangat memberi manfaat tertuamanya dalam melahirkan pelajar yang berdaya saing kerana mereka mendapat peruntukan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). 

 
Hashim Adnan.


Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan pula berpendapat, Program Pebimbing Pakar Peningkatan Sekolah harus dinilai secara menyeluruh kerana khidmat perunding yang diambil kadang kala tidak bersesuaian dengan sosio-budaya masyarakat di negara ini. 

"Khidmat perunding ini harus dinilai kembali kerana ada yang sesuai untuk diamalkan di sekolah di negara ini. 

"Kita juga berharap agar bajet yang dibentangkan dipastikan pelaksanaannya bukan sekadar dibentangkan sahaja. 

"Program yang lebih menjurus kepada pembaziran dan kurang bermanfaat kepada sekolah dan pelajar tidak perlu dilaksanakan, seperti program rating, bila ramai guru yang membantah barulah pihak kementerian menangguhkan program tersebut,” katanya. 

Selain itu, katanya, sistem jalur lebar di sekolah wajar dipertingkatkan  ke tahap lebih baik kerana ia mengganggu tugas guru yang perlu mengemaskini data secara atas talian. 

"Sistem jalur lebar di sekolah sangat lemah, ini menggangu tugasan para guru yang memerlukan mereka memasukkan data terutamanya keputusan pelajar ke dalam sistem secara atas  talian. 

"Kebanyakan sekolah di kawasan pinggir bandar dan luar bandar mengalami masalah ini," katanya.

Dalam Bajet 2015 yang dibentangkan pada Jummat kerajaan mengumumkan peruntukkan sebanyak RM56 bilion diberikan kepada sektor pendidikan. 

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM800 juta diperuntukkan untuk menaik taraf aspek keselamatan dan persekitaran sekolah meliputi peruntukkan sebanyak RM450 juta kepada Sekolah Kebangsaan dan masing-masing RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil, sekolah mubaligh, sekolah berasrama penuh, sekolah bantuan kerajaan serta Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). 


Bajet 2015, GMGBM, NUTP

Artikel Sebelum

Bajet 2015: Bajet Mesra OKU

Artikel Berikut

Artikel Lain