suria

Bajet 2015: 'Berhati-Hati' Tanpa Ada Kejutan Besar

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, Jumaat. -fotoBERNAMA
BAJET 2015 menunjukkan anjakan yang jelas daripada pemberian subsidi yang luas kepada bantuan secara langsung yang telah menjadi asas kepada Program Transformasi Ekonomi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (ETP).

Tiada kejutan besar dalam bajet kali ini, yang terakhir bagi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Pada bulan Mei tahun depan, Najib akan mengumumkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), yang merupakan rancangan lima tahun terakhir sebelum Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Tetapi dalam Bajet 2015, apa yang jelas adalah jumlah subsidi langsung diberikan kepada pelbagai kumpulan isi rumah berpendapatan rendah dan pertengahan, sebagai langkah untuk meringankan beban golongan ini.

Mendahului senarai ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang telah meningkat hampir 50 peratus dari RM650 kepada RM950 bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

Bagi mereka yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000, BR1M akan dinaikkan kepada RM750 dari RM450.

Pada skala yang lebih kecil, bantuan disalurkan kepada pekebun kecil getah, yang mendapat bayaran khas sebanyak RM500 untuk membantu mengatasi harga rendah komoditi itu, manakala nelayan akan mendapatkan elaun sara hidup bulanan sebanyak RM250 atau RM300 bergantung kepada lokasi dan elaun bulanan sebanyak RM200 untuk nelayan darat.

Untuk membolehkan lebih ramai orang membeli rumah pertama dan mengurangkan kos membeli rumah, pengecualian duti setem 50 peratus akan dilanjutkan hingga 31 Disember 2016 manakala had pembelian akan meningkat kepada RM500,000 dari RM400,000.

Bagi mereka yang membeli rumah pertama melalui Skim Rumah Pertamaku, harga siling dinaikkan kepada RM500,000 dan umur peminjam dinaikkan kepada 40 dari 35.

Juga pengumuman projek berskala besar yang merupakan ciri dalam belanjawan terdahulu di bawah ETP.

Antara yang diumumkan ialah peruntukan sebanyak RM9 bilion untuk pembangunan LRT 3 dan RM23 bilion untuk MRT Jajaran Kedua.

Tetapi kedua-dua projek-projek ini sudah dalam pelaksanaan.

Lebuhraya Pan Borneo, yang meliputi Sabah dan Sarawak, yang telah disebut sejak dua tahun lalu akhirnya akan bermula tahun depan dengan kos sebanyak RM27 bilion.

Juga tiada kejutan besar terhadap cukai pendapatan peribadi dan korporat yang dibimbangi, yang mana pengurangannya diumumkan pada Jumaat sudah dimaklumkan semasa Bajet 2014.

Tetapi adalah mudah untuk memahami mengapa Najib mengambil pendirian yang berhati-hati dalam melancarkan bajet ini.

Ia dilakukan pada ketika negara sedang melalui transformasi dalam sistem cukai apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus dijadual menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan pada 1 April depan.

Tempoh satu tahun akan datang, akan menjadi peralihan bagi kerajaan untuk mengukur potensi pendapatan daripada GST.

Buat masa ini, kerajaan dijangka mempunyai baki hasil kira-kira RM5.6 bilion untuk tempoh antara April dan Disember tahun depan.

Memandangkan Bajet 2015 adalah bajet akhir RMK-10, Najib menyebut dalam ucapannya bahawa pendekatan baharu yang dikenali sebagai Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS) sedang digubal.

Ini akan menyokong Rancangan Malaysia Ke-11, yang akan dilancarkan Mei depan.

Namun untuk ke arah itu, negara akan perlu melalui tempoh transformasi.
Bajet 2015

Artikel Lain