suria

Kenyataan Mengenai Bible: Ibrahim Ali Perlu Dikenakan Tindakan - Nur Jazlan

Datuk Nur Jazlan Mohamed
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa perlu menilai semula kes Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan mendakwanya di bawah Akta Hasutan, kata Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau berkata tindakan tersebut akan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa Akta itu adalah perlu untuk melindungi keharmonian dan perpaduan antara kaum dan agama di Malaysia.

"Kegagalan untuk mendakwa Ibrahim di bawah Akta Hasutan akan memberikan imej yang buruk kepada kerajaan.

"Ia juga akan memberi persepsi negatif kepada Akta itu, kerana ia dilihat sebagai pro-kerajaan dan cenderung kepada mempertahankan hak-hak Melayu dan ahli-ahli politik," kata Nur Jazlan.

Beliau menggesa Pejabat Peguam Negara mengarahkan pihak polis untuk membuka semula kertas siasatan di bawah peruntukan-peruntukan Akta Hasutan, bukannya Kanun Keseksaan.

Nur Jazlan, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) berkata, langkah itu menunjukkan penggunaan Akta Hasutan yang adil oleh kerajaan terhadap mana-mana individu yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan keharmonian antara kaum dan kepentingan perpaduan ke arah kemajuan Malaysia.

"Kebanyakan kes di bawah Akta Hasutan telah digunakan terhadap kenyataan berkaitan orang Melayu, Islam, dan kedudukan raja-raja Melayu," katanya.

Ibrahim pada Januari didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang mengancam, menggesa supaya Bible versi Melayu yang mengandungi perkataan "Allah" dan tulisan Jawi dibakar. 

Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan selepas beberapa laporan telah dibuat terhadap Ibrahim.

Artikel Sebelum

Artikel Lain