suria

Harga Kereta Tak Semestinya Lebih Murah Dengan GST

PETALING JAYA: Harga kereta tidak semestinya akan turun selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Persatuan itu berkata adalah 'tidak betul' membuat tanggapan bahawa harga kereta akan berkurang hanya kerana cukai jualan semasa 10 peratus akan digantikan dengan GST enam peratus mulai 1 April tahun depan.

Tidak seperti cukai jualan, MAA berkata GST adalah cukai berasaskan urusniaga dan cukai pelbagai peringkat yang dikenakan terhadap setiap peringkat urusniaga perniagaan.

"Ini bermakna GST dikenakan ke atas bekalan barangan dan perkhidmatan di setiap peringkat rangkaian bekalan, daripada pembekal sehingga peringkat pengagihan runcit," katanya dalam satu kenyataan.

"Di bawah sistem GST, akan ada implikasi yang berbeza untuk perniagaan-perniagaan dalam pelbagai bidang yang merangkumi pengiraan cukai, pengumpulan, bayaran balik, kos dan sebagainya jika dibandingkan dengan rejim cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada."

MAA berkata pengedar kenderaan perlu mengkaji semula struktur kos keseluruhan mereka dan rantaian bekalan dalam menghadapi implikasi ini.

"Kesan ini akan menjadi lebih besar bagi mereka yang mengendalikan kenderaan yang dipasang dalam negara. Ini kerana pada umumnya terdapat beribu-ribu alat ganti dan komponen yang digunakan untuk membuat satu kenderaan yang dikeluarkan dalam negara.

"Pengedar kenderaan perlu menilai setiap dan setiap seorang vendor dan pembekal mereka untuk menentukan kedudukan cukai mereka," katanya.

Pada masa ini, tidak semua penjual dan pembekal-pembekal mempunyai cukai jualan dan perkhidmatan.

Persatuan itu berkata harga kereta ditentukan oleh syarikat kereta selepas mengambil kira faktor dan pelbagai kuasa pasaran. 

Sebarang penurunan harga, katanya, juga boleh menjadi insentif bermusim yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat kereta sendiri kepada pelanggan pada musim tertentu atau tempoh masa. 

Pandangan persatuan itu mengenai harga kereta dan GST adalah bertentangan dengan Institut Automotif Malaysia (MAI), yang meramalkan penurunan harga kereta antara satu peratus dan tiga peratus selepas pelaksanaan GST.

MAI telah menjalankan simulasi harga tentang bagaimana harga kenderaan akan menerima kesan daripada GST.
GST, MAA, MAI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain