suria

Biar Polis Siasat Sebelum Kait Letupan Dengan Pengganas - Ahmad Zahid

Anggota forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian letupan bom di Jalan Bukit Bintang awal pagi Khamis.
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat punca sebenar kejadian letupan bom di hadapan sebuah kelab malam di Kompleks Sun, Bukit Bintang di ibu negara awal pagi Khamis.


Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak boleh memberi pengesahan dengan 'cakap-cakap' kononnya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kegiatan pengganas kerana siasatan masih dilakukan polis.

"Saya akan minta pihak PDRM mengeluarkan kenyataan mengenainya apabila bukti konklusif dan penyiasatan telah dijalankan," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu di sini.

Sebanyak 14 orang dilaporkan cedera termasuk seorang pekerja joki lelaki parah dalam insiden letupan bom buatan sendiri pada kira-kira 4.20 pagi itu. Kejadian itu dipercayai serangan bom pertama di pusat hiburan di negara ini.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, sebanyak dua bom dilemparkan dari aras dua, tempat letak kereta bangunan berkenaan.

Artikel Lain