suria

Malaysia Nafi Tawar Pangkalan Tentera Laut Kepada P-8A Poseidon

Hishammuddin Hussein.
KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya Malaysia telah menawarkan kemudahan pangkalan tentera laut di Sabah untuk menempatkan pesawat P-8A Poseidon milik Amerika Syarikat. 

Malah, beliau berkata pangkalan itu juga tidak mempunyai kemudahan serta keupayaan untuk menempatkan pesawat ronda maritim itu.

"Amerika Syarikat perlu membuat permohonan kepada Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri untuk mendapatkan kebenaran pesawat berada di Sabah.

"Kelulusan dibuat mengikut kes seperti yang dilakukan sewaktu misi pencarian dan menyelamat MH370 di Selat Melaka dan Laut China Selatan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini Khamis.

Hishammuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang ingin tahu sama ada Malaysia telah menawarkan kemudahan pangkalan tentera laut untuk menempatkan pesawat itu seperti dinyatakan Ketua Operasi Tentera Laut Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah lama menjalin kerjasama pertahanan berbentuk latihan bersama Amerika Syarikat melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani sejak 22 Jun 1990.

Katanya di bawah perjanjian ini, tujuh jenis latihan bersama ATM dan Amerika Syarikat diadakan setiap tahun bagi meningkatkan tahap profesionalisme, kemahiran, kepakaran serta berkongsi ilmu dan teknologi terkini dalam bidang ketenteraan.

"ATM dan Tentera Pasifik Amerika Syarikat juga mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan Keris Strike 2014 di dalam dan sekitar Kota Baharu dari 13-26 September.

"Ia merupakan latihan kali ke-18 dan melibatkan seramai 795 orang anggota, melibatkan 333 anggota United States Army Pacific Command dan 462 orang dari 8 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia," katanya.

Mengenai maklumat dan rahsia keselamatan negara, Hishammuddin memberi jaminan bahawa tidak ada sebarang petunjuk terdapatnya kehadiran perisik tentera asing ke Malaysia melalui siri latihan bersama.

"Kerjasama latihan ketenteraan tidak dibuat secara adhoc tetapi perlu melalui proses-proses tertentu melalui perjanjian latihan antara kedua-dua negara yang dimeterai menerusi MoU," katanya.

Dalam beberapa siri mesyuarat antara kedua-dua pihak, Hishammuddin berkata segala isu sensitif seperti isu keselamatan dan kerahsiaan negara menjadi keutamaan semasa perbincangan.

Malah, katanya, mesyuarat turut membincangkan secara terperinci berkenaan corak latihan, kekuatan anggota yang terlibat, aset yang digunakan, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan, tempat latihan dan aspek keselamatan.

Beliau berkata ATM sentiasa memberikan keutamaan yang tinggi dan semestinya tidak akan sesekali berkompromi dalam soal menjaga maklumat dan kerahsiaan negara daripada dibolosi atau dicemari sesiapa pun.

"Anggota ATM dan tentera asing yang terlibat akan diberikan taklimat berkaitan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan," jelas beliau.

Sebagai negara yang berdaulat, Malaysia bebas untuk bekerjasama dengan semua negara sama ada peringkat di Asean atau global, dan kerajaan akan terus memperkasa ATM untuk menjadikan ATM sebuah angkatan yang efisien dan kredibel bagi menghadapi cabaran dunia masa kini.

Artikel Lain