suria

Syabas Laksana Operasi Terhadap Pelanggan Dengan Bil Tertunggak

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sedang melaksanakan operasi bil tertunggak bagi bulan ini di lapan kawasan termasuk di ibu negara.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred berkata kawasan terlibat ialah Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Hulu Selangor, Sepang dan Sabak Bernam.

"Tindakan pemotongan bekalan air akan dikenakan kepada para pengguna yang gagal menjelaskan bil air tertunggak.
Sekiranya tindakan telah diambil, pengguna akan dikenakan caj sebanyak RM35 masing-masing untuk pemotongan dan penyambungan semula bekalan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata caj berkenaan adalah caj tetap perkhidmatan yang dikenakan SYABAS terhadap pengguna seperti diwartakan kerajaan Selangor di bawah Enakmen Pembekalan Air 1997.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna yang bilnya tertunggak membuat pembayaran secepat mungkin bagi mengelak dikenakan tindakan berkenaan.

Pengguna boleh mendapat keterangan lanjut dengan menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) SYABAS di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau melalui khidmat pesanan ringkas dengan menaip PUSPEL dan aduan atau pertanyaan serta dihantar ke 39222.
Syabas, bil air tertunggak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain