suria

PDRM Dalam Fasa Akhir Bentuk Skuad Taktikal Khas 3 - KPN

Tan Sri Khalid Abu Bakar
SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dalam fasa akhir pembentukan Skuad Taktikal Khas 3 yang dijangka mula beroperasi Disember ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid berkata skuad khas yang ditubuhkan bagi membendung kegiatan perjudian, maksiat dan kongsi gelap itu juga turut berperanan sebagai pasukan penyiasat penggubalan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

"Dalam skuad ini, kita turut menerapkan elemen penyiasatan kewangan atau AMLA kerana kita perlu siasat kedudukan kewangan mereka yang terbabit dengan kegiatan tersebut.

"Kelainan unit taktikal ini dengan unit-unit lain seperti D7 (Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap) adalah ia lebih mengkhususkan kepada pembanterasan kegiatan perjudian sahaja," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau ditemui ketika melakukan lawatan ke I-City di sini bagi membincangkan langkah terbaik meningkatkan tahap keselamatan di kawasan pembangunan seluas 29.1 hektar itu.

Khalid berkata, skuad itu bukan sahaja akan dianggotai oleh pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah malah ia dimantapkan dengan kekuatan pelbagai jabatan dalam pasukan keselamatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada persidangan Parlimen, Rabu menyatakan skuad khas dengan kekuatan 200 pegawai dan anggota itu akan membuat serbuan serta pemeriksaan ke atas pusat-pusat yang menganjurkan perjudian di seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata kementerian juga menyediakan nota makluman khas dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri tentang keperluan tindakan antara Pihak Berkuasa Tempatan dan PDRM untuk mengekang kegiatan itu.

Artikel Lain