suria

Lebih Ramai Berpeluang Tunai Haji Musim Akan Datang - Jamil Khir

SEPANG: Lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang mengerjakan haji pada musim haji akan datang apabila kerajaan Arab Saudi mengkaji semula kuota haji bagi setiap negara selepas pembangunan dan pembesaran kawasan Masjidil Haram di Mekah selesai.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, berdasarkan perbincangan dengan Ketua Bahagian Muassasah Asia Tenggara, dimaklumkan kuota bagi semua negara termasuk Malaysia akan dikaji semula apabila pembangunan selesai.

"InsyaAllah jika pembangunan yang dijangka siap hujung tahun hadapan itu dapat diselesaikan lebih awal, ia mungkin membantu untuk mempercepatkan penambahan kuota bagi menunaikan haji," katanya pada sidang media sejurus tiba dari Jeddah di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, Rabu.

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi memberi kuota 0.1 peratus daripada jumlah populasi kepada semua anggota negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) termasuk Malaysia.

Sejak 2009, kerajaan Arab Saudi memperuntukkan 27,900 tempat setahun bagi jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji namun dikurangkan sebanyak 20 peratus kepada 22,320 sejak tahun lepas berikutan kerja-kerja pembangunan di Masjidil Haram.

Jamil Khir berkata, jumlah kuota terkini kepada Malaysia akan diumumkan selepas mesyuarat haji yang akan diadakan kemudian.

Sehingga Mei lepas, seramai 1.5 juta umat Islam negara ini telah mendaftar untuk menunaikan haji.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 10 jemaah meninggal dunia di tanah suci manakala 81 jemaah sedang dirawat di hospital di Makkah, iaitu 75 di hospital Tabung Haji dan enam di hospital kerajaan Arab Saudi.

Jamil Khir berkata, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dijangka tiba di KLIA pada 9 malam, Jumaat ini, manakala penerbangan akhir dijadual mendarat di tanah air pada 6 Nov, jam 6.30 pagi.


haji, Arab Saudi, kuota

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain