suria

12 Projek Berskala Besar Di K.Lumpur Masih Terbengkalai

Datuk Seri Ahmad Phesal Talib
KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 projek berskala besar di bandar raya ini masih terbengkalai selama enam hingga 18 tahun, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Beliau berkata kebanyakan projek terbengkalai itu melibatkan bangunan komersial seperti hotel dan bangunan bercampur pejabat dengan hotel.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius projek yang tidak disiapkan dalam tempoh sepatutnya itu dan mengambil pendekatan untuk berunding dengan pemaju terlibat bagi membantu mereka menyambung semula projek berkenaan.

"DBKL bersedia untuk menimbang permohonan pindaan kepada pelan yang diluluskan terdahulu dengan segera," katanya kepada pemberita selepas melawat Quill City Mall di Jalan Sultan Ismail di sini, Rabu.

Ahmad Phesalberkata projek terbengkalai memberikan impak negatif dari aspek kebersihan dan keselamatan penduduk.

Mengulas mengenai lawatan itu, Ahmad Phesal berkata Quill City Mall ialah bangunan kompleks membeli-belah yang juga sebahagian daripada projek pembangunan Bandar Wawasan yang terbengkalai selama 17 tahun.

Beliau berkata pembangunan semula projek itu dimulakan pada tahun 2012 yang dibahagikan kepada tiga fasa oleh pemaju Quill Group of Companies.

Katanya, Quill City Mall juga akan dihubungkan dengan ketiga-tiga blok pejabat iaitu Bangunan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Menara DBKL 3 dan Bangunan Bank Pembangunan di tingkat 4.

Bangunan kompleks membeli-belah itu akan dilancarkan pada 18 Okt ini bersempena dengan alamat bangunan itu, 1018 Jalan Sultan Ismail dan dijangka beroperasi sepenuhnya tahun hadapan.

Artikel Lain