suria

Mangsa Terakhir Tragedi Bot Terbalik Ditemui

Mangsa terakhir bot terbalik oleh penduduk kampung dan pasukan penyelamat pada 8 pagi Selasa.

KOTA BAHARU: Mayat mangsa terakhir tragedi bot terbalik di Sungai Golok, Sabtu lalu ditemui pagi Selasa, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Rahmat Kamaruzaman.

Rahmat berkata mayat Wan Nurhabib Naufal Wan Ahmad Azli, 6, ditemui di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor oleh penduduk kampung dan pasukan penyelamat pada 8 pagi tadi.

"Mayat mangsa ditemui terapung di tepian sungai di Kampung Kuala Jambu kira-kira 15 kilometer dari tempat kejadian dan dalam keadaan lengkap berpakaian," katanya.

Beliau berkata mayat Wan Nurhabib di bawa ke Hospital Lati Pasir Mas untuk bedah siasat.

Sabtu lalu, Wan Nurhabib Naufal bersama-sama kakak Wan Nurdina Nadia, 10 dan ibu mereka Rosmiwati Zakaria, 37, dihanyutkan arus deras selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di Sungai Golok, Rantau Panjang. T

Tiga beranak itu ialah antara 15 penumpang bot yang sedang pulang dari Pasar Mundok, yang terletak di seberang Sungai Golok, sebelah Thailand.

Sebelum ini, mayat Rosmiwati ditemui pada 5.45 petang pada hari yang sama iaitu beberapa jam selepas kejadian yang berlaku pada 3.30 petang.

Sementara mayat Wan Nurdina Nadia ditemui di Kampung Bakong, Pasir Mas pada 9.30 pagi semalam.

Bot itu terbalik dalam keadaan arus sungai deras berikutan hujan lebat sebelum itu.

Mangsa lain berjaya diselamatkan dan ada yang berenang ke tebing.

Sementara itu Rahmat berkata pengkalan haram itu kini ditutup untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa dan menasihatkan orang awam supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

"Jangan terlalu ghairah untuk membeli barangan murah sehingga mengabaikan keselamatan dan boleh mengancam nyawa sendiri," katanya. 

Pasar Mundok, mangsa lemas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain