suria

Kerajaan Jamin Dedah Dalang Kebocoran Soalan UPSR

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan untuk mendedahkan dalang disebalik kes kebocoran kertas soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kerajaan tidak akan menyembunyikan hasil siasatan dan dalang yang bertanggungjawab selepas ia dikenalpasti badan bebas yang ditubuhkan di bawah kementeriannya bagi menyiasat kes berkenaan.

"Kita akan mengambil apa juga langkah yang boleh.

"Jawatankuasa yang dilantik adalah jawatankuasa bebas dan InsyaAllah kita akan pastikan semua dapatan mereka akan diberitahu kepada rakyat," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang ingin mengetahui tindakan kerajaan terhadap pihak yang terlibat membocorkan kertas soalan berkenaan.

Empat kertas soalan yang bocor ialah Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Tamil.

Peperiksaan semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris telah diadakan pada 30 September lalu manakala tarikh baharu bagi ujian Matematik dan Bahasa Tamil pula ditetapkan pada 9 Oktober ini.

Mengulas lanjut Idris berkata kementeriannya juga akan menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) Lembaga Peperiksaan dalam mengendalikan kertas peperiksaan bagi mengelak kes kebocoran kertas soalan berulang.

UPSR

Artikel Lain