suria

Kenaikan Kos Pengangkutan Tidak Sebabkan Harga Barangan Melonjak

MELAKA: Kenaikan kos pengangkutan disebabkan pengurangan subsidi petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 2 Okt lepas, tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang secara mendadak, kata Presiden Persatuan Pengusaha Pengangkutan Lori Wilayah Utara Datuk Yusoff Ismail.

Sebaliknya, beliau yang juga Presiden Persatuan Pengguna Kedah berkata kenaikan harga barang yang mendadak hanya boleh disebabkan oleh permintaan tinggi dan kekurangan bekalan sesuatu barangan.

"Buat masa ini, di negeri bahagian utara ini tiada lagi perbincangan untuk menaikkan kos pengangkutan, biasa berlaku kenaikan minyak sebulan lepas itu baru ahli kami berbincang kerana kita perlu lihat berapa banyak kos yang boleh kita serap kerana kita tidak mahu susahkan orang ramai.

"Kenaikan (harga) minyak yang lepas (September tahun lepas) kita ada naikkan lima peratus kos pengangkutan tetapi kesan dia amat kecil dan tidak sepatutnya menyebabkan harga barang naik mendadak," katanya.

Jumaat lepas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementeriannya memantau harga ikan di seluruh negara berikutan pengurangan subsidi diesel berdasarkan pengalaman lalu berlaku kenaikan harga ikan antara lapan hingga 13 peratus.

Ismail Sabri berkata kementeriannya memantau keadaan itu bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Memberikan contoh, Yusoff berkata kenaikan kos pengangkutan lima peratus tahun lepas menyebabkan kos membawa barang menggunakan lori satu tan dari Alor Setar, Kedah ke Kuala Lumpur naik daripada RM50 kepada RM52.50.

"Jadi contoh itu kita lihat kos membawa kuantiti yang banyak iaitu satu tan hanya naik RM2.50, bukan satu barang naik RM2.50 maka daripada akal yang waras adakah patut satu barang yang dibawa itu naik mendadak sampai beringgit-ringgit," katanya.

Beliau turut meminta pihak peniaga supaya tidak menggunakan alasan kos pengangkutan untuk mengaut keuntungan secara tidak bertanggungjawab dengan situasi pengurangan subsidi minyak itu.

"Kami di persatuan ini tidak akan menaikkan kos pengangkutan sesuka hati tanpa perbincangan dan maklum balas daripada orang ramai, percayalah kenaikan kos pengangkutan itu jalan terakhir kerana orang ramai pelanggan kami, tanpa mereka tiadalah kami," katanya.


Minyak, Petrol, Diesel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain