suria

Sistem Pengendalian Kertas Soalan Peperiksaan Ditambah Baik - Idris

Idris Jusoh.
BESUT: Kementerian Pendidikan telah melakukan pembaharuan dalam penambahbaikan terhadap sistem pengendalian kertas soalan peperiksaan bagi membendung kebocoran soalan peperiksaan pada masa depan, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata antara langkah itu adalah pemasangan sistem amaran dan kamera litar tertutup (CCTV) di semua bilik kebal yang menempatkan kertas soalan peperiksaan.

Langkah lain adalah tidak lagi mengunakan kotak untuk menghantar kertas soalan ke bilik kebal, katanya kepada pemberita selepas program minum pagi bersama rakyat di kediamannya di Kampung Tok Has di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah yang diambil kementerian bagi memastikan kes kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 baru-baru ini tidak berulang.

Peperiksaan semula kertas Bahasa Inggeris dan Sains UPSR telah diadakan pada 30 Sept lepas manakala bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Tamil akan diadakan pada 9 Oktober ini.

Idris menegaskan kebocoran soalan UPSR berlaku kerana adanya segelintir masyarakat tidak berintegriti yang mengejar untung segera di samping mahu melihat segala urusan diselesaikan dengan cepat.

"Oleh kerana individu yang tidak bertanggunjawab ini tidak mempunyai nilai-nilai positif dalam kerja menyebabkan soalan dibocorkan dan akhirnya menyusahkan ramai pihak," katanya.

Jelas beliau, sepatutnya masyarakat termasuk para guru perlu memahami bahawa pendidikan perlu dibangunkan dengan keseimbangan antara akademik dan akhlak.

Berhubung tindakan yang akan diambil terhadap sejumlah guru yang kini disoal siasat berhubung kes kebocoran soalan UPSR itu, Idris berkata tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya mereka didapati bersalah.

"Yang bersalah akan dihukum ... supaya menjadi contoh kepada semua pihak untuk memperkemaskan integriti mereka ketika menjalankan tugas," katanya.
Idris Jusoh, UPSR

Artikel Berikut

Artikel Lain