suria

Bukan Isu Besar, Hanya Dua Orang Letak Jawatan - Ketua Pemuda Gerakan

Tan Keng Liang
PETALING JAYA: Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang menafikan berlakunya 'peletakan jawatan beramai-ramai' sebagai protes terhadap kepimpinan beliau.

Beliau mendedahkan, hanya dua orang benar-benar meletak jawatan daripada jawatankuasa Pemuda parti. 

Bercakap kepada The Star Online, Keng Liang mengesahkan bahawa beliau menerima surat daripada lima pemimpin Pemuda untuk melepaskan jawatan mereka, tetapi tiga memilih untuk kekal sebagai ahli jawatankuasa.

"Saya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung bahawa daripada lima, hanya dua meletak jawatan. Tiga lagi hanya melepaskan jawatan masing-masing dan masih lagi menjadi ahli jawatankuasa," katanya ketika dihubungi.

Bekas Ketua Pemuda Gerakan Kedah itu dilaporkan berdepan 'peletakan jawatan beramai-ramai', seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Jumaat yang menyatakan bahawa lapan pemimpin Pemuda telah melepaskan jawatan kerana perbezaan pendapat dengan beliau.

Laporan tersebut menamakan lapan yang meletak jawatan sebagai Naib Ketua, Clarence Lee, Bendahari Agung Adrian Ong Ching Woo, Timbalan Bendahari Agung, Chan Tzun Hei, dua Timbalan Setiausaha Agung, Allan Tang Luan Kang dan Ooi Zhi Yi, dua Ketua Biro, Chong Chee Yen Chia dan Gim Tiong serta ahli jawatankuasa Pusat Ivanpal Grewal Singh. 

Beliau bagaimanapun menafikan laporan itu, mengatakan bahawa Setiausaha Agung beliau hanya menerima lima surat peletakan jawatan.

Mengulas mengenai peletakan jawatan tersebut, Keng Liang berkata ia bukan isu besar dan beliau 'tidak terkejut' dengan tindakan tersebut.

"Kita perlu melihat gambaran yang lebih besar. Terdapat sejumlah 60 ahli jawatankuasa dan cuba bandingkan jumlah itu dengan angka yang meletak jawatan," kata beliau sambil menambah ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi.

"Orang ramai boleh membuat apa sahaja pilihan yang mereka mahu dan kita tidak boleh memaksa mereka. Ini bukan luar biasa," katanya.

Apabila ditanya sama ada terdapat peningkatan perbezaan pendapat dalam sayap, Keng Liang berkata, surat peletakan jawatan tidak secara khusus mengatakan mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

"Tiga yang memilih untuk kekal dalam jawatankuasa berkata, pada masa ini mereka tidak dapat melaksanakan tugas untuk parti seperti yang diberikan kepada mereka dan ia tidak timbul isu. Saya memahami sepenuhnya alasan-alasan mereka," katanya.

Bagaimanapun, Keng Liang berkata beliau masih belum meneliti alasan-alasan di sebalik dua surat peletakan jawatan lagi yang akan dibincangkan semasa mesyuarat jawatankuasa kerja Pusat Selasa depan.

Beliau juga berkata tidak akan mendedahkan identiti mereka yang meletak jawatan sehingga mesyuarat itu diadakan.

"Saya perlu melihat semua laporan mengenai perkara ini sebelum saya boleh mendedahkan maklumat lanjut," katanya.

Artikel Lain