suria

Polis Perak Tingkatkan Pemantauan, Rondaan Di Premis Mesin ATM

Gambar hiasan.
IPOH:Polis Perak kini meningkatkan pemantauan dan rondaan di premis yang menyediakan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) ekoran beberapa insiden penggodaman mesin berkenaan yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata bagaimanapun setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian penggodaman ATM di negeri ini.

"Kita akan memantau lokasi yang berpotensi dijadikan sasaran pihak yang tidak bertanggungjawab, perkembangan insiden diberi perhatian serius memandangkan kejadian ini telah berlaku di negeri lain," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Tanjung Malim yang baharu iaitu Supt Ahmat Mat Isa, menggantikan Timbalan KPD DSP R. Supramaniam yang sebelum ini memangku jawatan tersebut, di Bilik Mesyuarat Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini.

Baru-baru ini, kes penggodaman mesin ATM melibatkan empat buah bank di Kuala Lumpur, Melaka, Johor Baharu dan Selangor dengan anggaran kerugian lebih RM3 juta dipercayai digodam sindiket dari Amerika Latin.

Acryl Sani berkata polis juga mengadakan perbincangan dengan pihak bank bagi mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan keselamatan mesin ATM.

Terdahulu, beliau menyampaikan penghargaan kepada R.Kamalavalli, 50, dan Nor Anida Ahmad Nawawi, 41 yang masing-masing merupakan balu anggota polis yang meninggal dunia semasa perkhidmatan iaitu DSP M.Shamugam, 57, dan DSP Mior Fahim Ahmad, 40.

Turut menerima penghargaan ialah Afidah Ehsan, 53, ibu kepada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian Koperal Mohd Azuan Abdullah.

Shamugam meninggal dunia akibat serangan jantung manakala Mior Fahim pula ditemui lemas di kawasan air terjun Sungai Tungku, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun semasa menjalani Latihan Dalam Perkhidmatan Kemahiran Memandu Off Road.

Mohd Azuan maut apabila motosikalnya dirempuh kereta penjenayah ketika mengejar suspek kes samun di Bagan Serai pada 26 Mei lepas.

Artikel Lain