suria

"Sabar" Kata SPAD Kepada Pengusaha Bas Ekspres

Syed Hamid Albar.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) meminta syarikat pengusaha bas ekpres supaya bersabar dan menunggu pengumuman kenaikan kadar tambang baharu sebaik semua urusan berkaitannya selesai.


Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kenaikan harga diesel berkuatkuasa Khamis berikutan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen menyebabkan SPAD perlu menyemak semula dokumen kadar tambang bas ekspres sedia ada.

"Memorandum daripada Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) sudah saya diterima. Kami sedang menyemak kadar tambang sedia ada bagi memastikan industri ini terus berkembang sejajar dengan Pelan Transformasi Kerajaan.

"Jadi kita minta semua supaya bersabar kerana perkara ini melibatkan banyak pihak. Pengumuman mengenainya akan dibuat nanti," katanya kepada mStar Online tanpa mahu memberi sebarang jangkaan masa mengenai pengumuman itu.

Jelas beliau, SPAD sememangnya dalam perancangan untuk menetapkan kadar tambang baharu selepas mengambil kira peningkatan kos operasi terutamanya kenaikan harga minyak baru-baru ini.

"Perancangan ke arah itu memang ada tetapi kita perlu bentangkan kepada kerajaan sebelum sebarang kata putus dibuat," katanya.

Terdahulu, Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali menuntut SPAD  menunaikan janji dengan mengumumkan kadar kenaikan tambang bas baharu dengan segera selepas syarikat pengusaha bas mendakwa mereka terpaksa mengurangkan laluan perjalanan akibat tiada keuntungan.

Beliau berkata, permohonan kenaikan tambang bas sebanyak 30 peratus telah dikemukakan kepada SPAD pada Mei tahun lalu kerana syarikat pengusaha bas kini terpaksa menanggung peningkatan operasi sehingga mencecah 36 peratus.

"Sehingga kini, tiada sebarang perkembangan mengenainya walaupun terdapat 'cakap-cakap' menyatakan kadar baharu kenaikan tambang bas ekspres akan diputuskan selepas Aidilfitri tahun ini," kata Ashfar.

Beliau berkata, tambang bas ekspres dinaikkan sebanyak 30 peratus kali terakhir pada 2008.

PMBOA turut menghantar memorandum yang mengandung 17 cadangan bagi bas henti-henti dan bas ekspres kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Kewangan pada 5 September lalu, untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2015.

Antara cadangan itu adalah meminta kerajaan meletakkan pengusaha bas di bawah status ‘kadar sifar’ dalam Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi memudahkan pengusaha menuntut kembali GST yang dibayar, selain kos pembelian yang berkaitan seperti pembinaan badan bas, pembelian casis, tayar, bateri dan peralatan ganti bas dan perkhidmatan servis.

Sebelum ini, pengusaha bas dikelaskan di bawah status dikecualikan, dengan pengusaha perlu membayar GST untuk segala pembelian dan tidak dapat menuntutnya kembali, menyebabkan kos operasi pengusaha bas meningkat.

Syed Hamid Albar, SPAD, PMBOA

Artikel Lain