suria

Jerebu: 200 Tompok Panas Baharu Di Kalimantan

PETALING JAYA: Peningkatan drastik sehingga hampir 200 tompok panas dikesan di Kalimantan, Indonesia dalam tempoh 24 jam, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel.


Beliau berkata, 170 tompok panas dikesan pada 30 September dan jumlah itu meningkat sehingga 367 pada Rabu.

Beliau menambah, tompok panas itu dikesan Pusat Pakar Meteorologi Asean berpangkalan di Singapura menerusi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional.

"Dalam tempoh sama, 76 tompok panas ditemui di Sumatera walaupun kedudukan awan menyukarkan proses mengesan jumlah sebenar kawasan panas itu," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Palanivel berkata, tompok panas itu menyebabkan berlakunya jerebu yang dikesan di beberapa kawasan di sekitar Kalimantan.

Dilaporkan setakat ini, Malaysia dan Indonesia sedang merangka memorandum persefahaman untuk menangani masalah jerebu antara sempadan.

Kerajaan juga mengemukakan dokumen bertulis kepada Indonesia menyuarakan keprihatinan terhadap isu peningkatan tompok panas di selatan Sumatera dan Kalimantan yang menyebabkan berlakunya jerebu di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Palanivel juga memaklumkan, Jabatan Alam Sekitar mengesan dua tompok panas di Sarawak dan satu di Pahang.

"Semua tompok panas yang dikesan itu akan diteliti dan pihak berkuasa berkaitan akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Katanya lagi, jabatan berkenaan juga merekodkan 4,751 kes pembakaran terbuka di seluruh negara dengan jumlah tertinggi membabitkan kawasan pertanian iaitu 1,475 kes, pembakaran terbuka kecil (1,054); bakar semak (1,033); tapak pembinaan (162); kawasan hutan (907); tapak sampah (86) dan kawasan perindustrian sebanyak 34 kes.



tompok panas, Kalimantan, Sumatera

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain