suria

MH17: Hanya Dua Lagi Rakyat Malaysia Belum 'Pulang'

SEPANG: Hanya dua lagi warga Malaysia yang terbabit dalam tragedi pesawat MH17 belum dikenal pasti atau dijumpai, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kedua-duanya ialah nenek tiri Hishammuddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Puan Sri Siti Amirah Parawira yang berusia 83 tahun dan Shaliza Zaini Dewa, 45.

Menteri Pertahanan berkata, memandangkan hanya dua lagi warga negara Malaysia yang belum dikenal pasti atau dijumpai, bermakna agensi yang hendak masuk ke kawasan nahas sebelum musim sejuk tidak terdesak seperti dulu.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia menyerahkan kepada Belanda dan Australia untuk membuat keputusan sama ada sesuai atau tidak untuk masuk semula ke tapak nahas di timur Ukraine.

"Kita serahkan kepada kedua-dua negara berkenaan untuk mempertimbangkan sama ada wajar atau tidak untuk mengambil risiko masuk semula di tapak nahas.

"Tapi mesti dilakukan bersama dengan pihak Belanda dan Australia dan lagi pun jumlah mangsa korban dari kedua-dua negara itu lebih ramai," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas upacara penghormatan kepada lima jenazah MH17 yang tiba dari Belanda di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini, beliau berkata ini kerana usaha memasuki lokasi nahas tidak boleh dilakukan secara unilateral.

Hishammuddin berkata, risikonya bukan sekadar di kawasan  tapi perjalanan ke kawasan nahas itu pun masih bergolak.

"Biar mereka (Australia dan Belanda) membuat keputusan bersama kita, bila agaknya kita boleh kembali ke lokasi nahas memandangkan risiko kawasan pertempuran sekarang ini boleh menjejaskan pasukan keselamatan ketiga-tiga negara ini," katanya.

Belanda, Australia, MH17

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain