suria

Tiada Aktiviti 'Shark-Finning' Di Malaysia - Ismail Sabri

Ismail Sabri memegang replika ikan yu selepas merasmikan Kempen Tak Nak Sirip Ikan Yu di sini, Jumaat.
KUALA LUMPUR: Aktiviti 'shark-finning' atau perbuatan mengambil sirip ikan yu, manakala bahagian badan lain dibuang tidak pernah dijalankan di negara ini.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ikan yu bukan sasaran utama aktiviti menangkap ikan di Malaysia, sebaliknya ia ditangkap bersama spesis ikan lain sebagai tangkapan sampingan.

"Pendaratan ikan yu di Malaysia sangat rendah. Pada 2013, sejumlah 7,833 tan metrik ikan yu telah didaratkan di mana ia hanya menyumbangkan sebanyak 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaratan ikan marin negara.

"Seluruh bahagian ikan yu yang tertangkap pula digunakan sepenuhnya sama ada sebagai makanan atau diproses untuk kegunaan lain," katanya ketika melancarkan kempen Tak Nak Sirip Ikan Yu di sini, Jumaat.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Ismail Abu Hassan.

Ismail Sabri berkata, sehingga kini 27 negara dan Kesatuan Eropah mengharamkan kegiatan mengambil sirip ikan yu serta tidak membenarkan aktiviti perdagangan bagi produk tersebut.

Katanya, selain meningkatkan kesedaran berhubung pengurusan dan pemuliharaan ikan yu, larangan tersebut dilihat telah berjaya mengurangkan kira-kira 30 peratus permintaan terhadap sup sirip ikan yu yang sekali gus memberi impak besar kepada masyarakat seluruh dunia.

Beliau bagaimanapun menjelaskan aktiviti perdagangan produk sirip ikan yu masih dijalankan di negara ini di mana pada 2012, sebanyak 1,894 tan metrik produk ikan tersebut telah diimport membabitkan nilai RM19.5 juta.

Justeru katanya, kempen seumpama itu adalah tepat pada waktunya bagi mengurangkan jumlah permintaan terhadap produk sirip ikan yu, selain menjadi langkah proaktif kerajaan terhadap aktiviti konservasi ikan tersebut.

Menurutnya, kempen itu dijalankan selaras dengan keputusan mesyuarat Kabinet pada 21 Mei lepas yang bersetuju untuk mengharamkan sajian sup sirip ikan yu dalam semua acara rasmi kerajaan.

Pada masa sama beliau menyeru semua pihak termasuk badan swasta, pengusaha restoran dan hotel supaya menyokong kempen itu dengan tidak menyediakan sajian sirip ikan yu dalam menu masing-masing.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut melancarkan buku Pelan Tindakan Pemuliharaan dan Pengurusan Ikan Yu Kebangsaan yang menyediakan garis panduan dalam memastikan spesis tersebut tidak diancam kepupusan.


Artikel Lain