suria

Polis P Pinang Beri Amaran Kepada Geng 04, Sio Sam Ong

Abdul Rahim Hanafi
GEORGE TOWN: Polis memberi amaran kepada dua kumpulan kongsi gelap di Pulau Pinang agar tidak menganggu keselamatan dan ketenteraman awam dengan melakukan pelbagai kes jenayah kekerasan.


Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya mendapati dua kumpulan kongsi gelap terbesar di negeri itu iaitu Geng 04 dan Sio Sam Ong telah bertindak menganggu keselamatan dan ketenteraman awam selepas polis mengumumkan untuk memerangi mereka pada Isnin lepas.

"Tindakan dua kumpulan kongsi gelap itu melakukan jenayah kekerasan ke atas peniaga dan orang ramai seolah-oleh mencabar pihak polis berikutan kami telah mengumumkan untuk memerangi mereka.

"Saya memberi amaran keras kepada dua kumpulan itu, jika mereka masih cuba menimbulkan suasana huru hara di negeri ini, polis tidak akan teragak-agak menahan anggota geng berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, Jumaat.

Katanya, sejak Ops Cantas dilancarkan sejak 17 Ogos tahun lepas hingga semalam, polis Pulau Pinang telah memeriksa 30,112 orang dan daripada jumlah itu seramai 6,334 individu ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk 438 anggota kongsi gelap.

"Sepanjang tempoh yang sama, polis turut merampas sebanyak 18 pucuk senjata api, 920 butir peluru dan 115 buah kenderaan termasuk kereta dan motosikal," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, anggota Polis Pulau Pinang diarahkan memantau, meronda dan memeriksa premis yang menyediakan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) selama 24 jam sehari bagi mengelak kejadian menggodam.

Beliau berkata pihaknya akan turut memantau kehadiran warga Amerika Latin terutama di lapangan terbang.

"Setakat ini tiada laporan (kejadian menggodam ATM) di Pulau Pinang. Apa pun polis telah beri ingatan kepada semua pihak untuk buat rondaan dan pemeriksaan di tempat-tempat ATM berada.

"Kami perlu beri perhatian serius kepada perkara ini kerana kejadian godam ATM telah berlaku di beberapa negeri di Semenanjung. Kita harap kejadian itu tidak akan berlaku di negeri ini," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Lain