suria

Bekas Ketua Balai Polis Ditahan Kerana Curi Barang Kes

KUANTAN: Bekas Ketua Balai Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bera bersama empat lelaki ditahan polis malam tadi kerana mencuri barang kes yang diletakkan di luar stor barang kes IPD itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Zakaria Ahmad berkata kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 59 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.30 malam tadi semasa sedang memunggah dan memasukkan barang-barang kes yang hendak dilupuskan itu ke dalam sebuah lori jenis Isuzu.

"Suspek memunggah barang-barang kes yang hendak dilupuskan itu tanpa kebenaran mana-mana pihak dan polis telah menahan lori itu di hadapan pintu pagar IPD Bera sebelum menangkap mereka berlima," katanya.

Beliau berkata, selain itu polis berjaya merampas semula barang-barang kes iaitu 63 unit pelbagai jenis monitor komputer, 310 Unit Pemprosesan Pusat dan sebuah kereta jenis Toyota Camry dipercayai digunakan suspek.

Katanya, kelima-lima suspek itu kini ditahan di IPD Bera untuk siasatan lanjut dan tindakan pendakwaan.


Bera, Polis

Artikel Lain