suria

Kes Denggi Dijangka Meningkat Mulai Hujung November

PUTRAJAYA: Kes denggi dijangka meningkat bermula hujung November ini berikutan perubahan cuaca, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

"Cuaca hujan dan kering yang bersilih ganti sesuai untuk nyamuk Aedes membiak dan berdasarkan pengalaman pada tahun-tahun sebelum ini, kes denggi berkemungkinan meningkat," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO) meneruskan operasi dan aktiviti membersihkan kawasan awam, kawasan terbuka dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes.

"Kementerian juga berharap penglibatan masyarakat dalam aktiviti 'cari dan musnah' tempat pembiakan Aedes dilakukan setiap minggu," katanya.

Bagi memastikan kejadian kes dan wabak denggi terkawal, katanya kementerian juga meneruskan perkhidmatan semburan ruang termal dan semburan ruang ULV oleh Pest Control Operator (PCO).

Katanya, PCO telah membantu dengan melakukan perkhidmatan semburan di Selangor khususnya di daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak serta di Kelantan.

Subramaniam berkata bagi tempoh Januari sehingga 27 Sept lepas, jumlah kumulatif kes kematian akibat denggi yang dilaporkan di seluruh negara adalah 146 kematian berbanding 48 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata jumlah kumulatif kes denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh itu adalah 76,616 kes iaitu peningkatan sebanyak 239 peratus berbanding 22,602 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Katanya sejumlah 589 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di seluruh negara iaitu 340 lokaliti di Selangor, Kelantan (153 lokaliti), Johor (22 lokaliti), Sarawak (17 lokaliti), Pulau Pinang (14 lokaliti), Kuala Lumpur dan Putrajaya (13 lokaliti), Pahang (11 lokaliti), Melaka (lima lokaliti), masing-masing empat lokaliti di Terengganu dan Perak, Perlis (tiga lokaliti), Negeri Sembilan (dua lokaliti) dan satu lokaliti di Sabah.

"Daripada jumlah ini, terdapat 157 lokaliti hotspot dilaporkan di seluruh negara iaitu 98 lokaliti di Kelantan, 56 lokaliti di Selangor dan masing-masing satu lokaliti di Melaka, Pahang, dan Pulau Pinang," katanya.
denggi, Subramaniam

Artikel Lain