suria

Tambang Tak Naik, Pengusaha Bas Kurangkan Perkhidmatan

- Gambar hiasan
PETALING JAYA: Beberapa pengusaha bas dikatakan merancang untuk mengurangkan perkhidmatan secara berperingkat berikutan tiada kenaikan kadar tambang bas ekspres sehingga hari ini.‬

‪Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, tindakan tersebut cukup membimbangkan kerana ia akan menjejaskan industri perkhidmatan asas yang menjadi nadi kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.‬

‪Malahan katanya, tindakan kerajaan yang hingga kini tidak mengumumkan kenaikan tambang bas baharu juga menjadi tanda tanya.

‪"Mereka (pengusaha bas) terbeban kerana terpaksa menanggung pelbagai peningkatan kos akibat kenaikan harga diesel, kos keselamatan bas, penyelenggaraan dan gaji pekerja.‬

‪"Kita percaya pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (CBP) bermula April depan antara punca yang menyebabkan ada diantara pengusaha bas yang mengurangkan operasi secara berperingkat," katanya kepada mStar Online pada Selasa.‬

‪Jelas beliau, pengusaha bas berkenaan  terpaksa mengurangkan perjalanan ke  destinasi tertentu untuk mengelakkan syarikat daripada gulung tikar.‬

‪"Sebagai contoh, jika sebelum ini  syarikat menyediakan 10 kali perjalanan ke destinasi yang ditawarkan, mereka mungkin hanya menawarkan tujuh perjalanan sahaja," katanya.‬

Justeru, katanya, kenaikan tambang  perlu supaya pengusaha bas memperoleh modal pusingan mencukupi terutama  bagi  menggantikan bas lama.‬

‪Bagaimanapun, katanya, sebagai pihak yang bertanggungjawab, pengusaha bas tidak akan mengambil pendekatan drastik seperti  mogok untuk mendesak kerajaan tetapi merayu supaya kenaikan tambang dipercepatkan.‬

‪"Kita tahu mogok salah disisi undang-undang terutama bagi pengusaha bas yang disenaraikan dalam industri perkhidmatan asas," katanya.‬

‪Beliau berkata, walaupun masih belum ada sebarang perkembangan terbaharu mengenai perkara itu, pihaknya akan terus berhubung dengan  Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar pendekatan proaktif dilaksanakan segera bagi mengurangkan tekanan pengusaha bas.‬

‪Jelasnya, permohonan kenaikan tambang bas sebanyak 30 peratus telah dikemukakan kepada SPAD pada Mei tahun lalu.‬

‪"Kita selalu adakan perjumpaan dengan pegawai SPAD tetapi mereka suruh kita tunggu. Saya pun tidak tahu sampai bila kita harus sabar..‬

‪"Kadar 30 peratus dalam permohonan tahun lepas berdasarkan kadar semasa, tetapi selepas setahun masih belum ada kata putus mengenainya," kata Mohd Ashfar.‬

‪Jelas beliau, tambang bas ekspres dinaikkan sebanyak 30 peratus kali terakhir pada 2008, dan sejak itu pengusaha bas mengalami kenaikan kos sehingga 36 peratus.‬

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain