suria

Ketua Umno Pensiangan Akui Beri Keterangan Kepada SPRM

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Pensiangan, Sabah, Datuk Abdul Ghani Mohd Yasin mengaku beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lepas untuk memberi keterangan berhubung satu kes.

Namun beliau, yang kini berada di Kota Kinabalu, Sabah ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut mengenai kes itu dan atas sebab apa beliau dipanggil memberi keterangan.

"Saya mendapat panggilan telefon daripada SPRM pada pagi Rabu lepas, namun ketika itu saya sedang berada di Kuala Lumpur bersama anak saya. Dan saya mendapat satu lagi panggilan telefon pada petang hari yang sama bertanyakan bila saya boleh hadir.

"Dan pada hari Jumaat, saya secara sukarela pergi berjumpa dengan mereka (pegawai SPRM) di Kota Kinabalu (untuk memberi keterangan)," katanya.

Pada Selasa, Daily Express di Sabah melaporkan seorang Ketua Umno bahagian di negeri itu ditangkap SPRM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Khamis lepas berhubung kes pecah amanah (CBT) melibatkan wang berjumlah RM300 juta.

Namun Abdul Ghani menafikan beliau ditangkap, sebaliknya beliau menekankan bahawa keterangan diberi secara sukarela dan kerjasama penuh diberikan kepada pegawai SPRM.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes ini masih di peringkat awal, dan meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi liar kerana dikhuatiri mengganggu kelancaran siasatan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain