suria

Polis Perlu Perkukuh Jabatan Hal Ehwal Dalaman

Johan Jaaffar
KUALA LUMPUR: Panel Perundingan dan Pencegahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu polis memperkukuhkan Jabatan Siasatan Dalamannya (IAD) bagi memerangi rasuah di dalam pasukan itu.


Panel itu, yang dipengerusikan Tan Sri Johan Jaaffar, berkata walaupun polis telah mempunyai Unit Penguatkuasaan Undang-undang Hal Ehwal Dalamannya dan bagi menjadikannya lebih berkesan, ia perlu dipertingkatkan dengan mempunyai lebih banyak pegawai dan diberikan kuasa dan sokongan yang mencukupi.

Dalam satu kenyataan, panel itu berkata, IAD boleh memainkan peranan penting bagi memantau dan menyiasat syak wasangka yang munasabah mengenai pelanggaran undang-undang dan salah laku profesional termasuk rasuah di kalangan polis.

Panel itu juga menyambut baik kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kementeriannya akan mengikut "New York Way" untuk memerangi rasuah.

Jabatan Polis Bandaraya New York (NYPD) telah melakukan usaha terpuji bagi membersihkan imejnya selama ini, kata kenyataan itu.

Panel itu bersetuju bahawa 'New York Way' adalah cara yang ke hadapan bagi polis untuk menghapuskan mereka yang bermoral buruk dalam pasukan.

Menurut kenyataan itu, panel berkenaan dan SPRM sentiasa bersedia untuk berkongsi beberapa inisiatif bagi memerangi rasuah dengan polis.

Kenyataan itu turut mencadangkan, di antara lain, mengadakan program Jabatan Angkat untuk mengenal pasti bidang-bidang masalah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang.

"Ideanya ialah bagi memupuk nilai-nilai murni, tadbir urus dan amalan-amalan baik dalam unit-unit kumpulan atau agensi penguatkuasaan undang-undang.

Program itu akan membabitkan penyeleiaan, kaunseling dan bantuan daripada SPRM., kata kenyataan itu.


SPRM, IAD, Tan Sri Johan Jaaffar

Artikel Lain