suria

Pasangan Kekasih Direman Tujuh Hari Bantu Kes Penemuan Mayat Kanak-Kanak

Anggota forensik membawa mayat kanak-kanak lelaki berusia lima tahun untuk siasatan lanjut. - fotoBERNAMA
BUKIT MERTAJAM: Sepasang kekasih direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, yang dipercayai dibunuh dan dibuang dalam semak berhampiran ladang sawit di Kampung Tongkang, Permatang Tinggi di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Noor berkata wanita berusia 30 tahun, yang juga ibu kepada kanak-kanak berkenaan dan teman lelakinya, 24, direman bermula pada Selasa.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan penahanan pasangan kekasih ini diharap dapat membantu siasatan polis," katanya.

Mayat kanak-kanak itu ditemui kira-kira 12 tengah hari Isnin oleh sepasukan polis selepas hasil siasatan terhadap ibu kanak-kanak itu, yang melaporkan kehilangan anaknya semasa bersiar-siar di Padang Kota, George Town Selasa lepas.

Wanita itu ditahan setelah memberikan keterangan bercanggah dan mencurigakan. 

Hasil siasatan lanjut mendapati wanita yang menganggur itu mengaku memukul anaknya hingga mati di rumah mereka di Kulim, Kedah sebelum membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan semak di Kampung Tongkang.

Rusli berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya mengubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

reman, bunuh anak, pasangan kekasih

Artikel Lain