suria

Polis Kemas Kini Kertas Siasatan Kes Soalan UPSR Bocor

Pelbagai pihak ditahan termasuk guru besar, guru dan pekerja swasta untuk disoal siasat berhubung kes itu.
KUALA LUMPUR: Polis sedang memperkemaskan lagi kertas siasatan kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata, ia selaras dengan arahan terbaru Jabatan Peguam Negara.

"Ada beberapa arahan baharu daripada Jabatan Peguam Negara untuk dilengkapkan ... dan kita bagi tumpuan untuk lengkapkan siasatan tersebut," katanya.

Tajudin berkata demikian pada sidang media sempena majlis Perhimpunan Khas Ketua Polis Kuala Lumpur bersama-sama Sukarelawan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, Ahad.

Pada minggu lepas, polis telah menyerahkan laporan siasatan kes berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara dan difahamkan laporan itu diserahkan semula kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pada 10 September lepas, kertas peperiksaan subjek sains UPSR ditangguhkan setelah didapati bocor, dan sehari selepas itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris juga bocor. Ekoran itu tarikh baharu peperiksaan bagi dua kertas itu ditetapkan pada 30 September.

Isnin lepas, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof mengumumkan kertas peperiksaan subjek matematik dan Bahasa Tamil UPSR yang berlangsung pada 10 September dibatalkan setelah disahkan bocor.

Tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu ditetapkan pada 9 Oktober.


UPSR, Datuk Tajuddin Md Isa, bocor

Artikel Lain