suria

RM280 Juta Setahun Urus Pusat Pemulihan Dadah AADK

MELAKA: Kerajaan membelanjakan kira-kira RM280 juta setahun bagi menguruskan 28 pusat pemulihan dadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara.

Ketua Pengarah AADK, Suhaimi Abdullah berkata, kos itu termasuk makan minum penghuni antara RM8 dan RM10 sehari, bil utiliti dan gaji pekerja di pusat berkenaan.

Beliau berkata, pusat pemulihan AADK di seluruh negara mampu memuatkan kira-kira 6,000 penghuni pada satu-satu masa dengan 40 peratus daripada mereka ialah penagih berulang manakala selebihnya penagih baharu.

"Kita ada hadnya dari segi kos dan kapasiti pusat pemulihan, maka adalah lebih baik kita perkukuh aktiviti pencegahan bagi mengurangkan bilangan penagih itu sendiri," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau terdahulu menghadiri majlis penutup Persidangan Antarabangsa Bandaraya Asia yang dirasmikan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Melaka Datuk Ismail Othman.

Persidangan bertemakan 'Drug Demand Reduction Specialist 2014' anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kali ke-6 itu disertai 250 peserta dari 21 negara termasuk Indonesia, Filipina, Pakistan, Kenya, Maldives dan Thailand.

Sehubungan itu, Suhaimi berkata AADK sedang mempergiat usaha membendung peningkatan bilangan penagih baharu dengan memberi tumpuan aspek pencegahan melalui kerjasama masyarakat setempat.

Beliau berkata, ia termasuk mempergiat program kesedaran bahaya dadah kepada golongan berisiko tinggi terjebak dengan gejala itu terutamanya di sekolah, tempat kerja dan kediaman.

"Kerjasama erat antara AADK dan masyarakat amat perlu bagi mengurangkan permintaan dadah di negara ini, seterusnya dapat memantau aktiviti penawaran dadah," katanya.

Artikel Lain