suria

Jurukamera RTM Buat Laporan Polis Dikasari Pegawai Kastam

TEGANG... Salah seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia bertindak memarahi pengamal media yang membuat liputan berhubung kes rasuah membabitkan lima pegawai jabatan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) Lutin Ahmad, 39, yang didakwa dikasari seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada Isnin, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R.Munusamy berkata pihaknya menerima laporan mangsa pada kira-kira 10 pagi.

"Kita juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengetahui punca sebenar insiden berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah," katanya.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari Isnin, Lutin mendakwa dirinya dikasari, ditendang dan diugut seorang pegawai JKDM yang mengiringi lima pegawai lain yang berdepan pertuduhan menerima rasuah.

Pegawai itu dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Lutin merakam visual kesemua tertuduh ketika mereka dibawa keluar dari mahkamah selepas prosiding pendakwaan selesai.

Lutin memaklumkan pegawai itu menghalang beliau daripada merakam visual dan berlaku tolak-menolak sehingga menyebabkan dia jatuh terlentang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain