suria

Guna Tablet Cytotec Gugur Kandungan Boleh Bawa Maut

Dr Noor Hisham Abdullah.
KUALA LUMPUR: Tablet Cytotec yang disalah guna untuk tujuan lain seperti menggugurkan kandungan boleh membawa maut, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata produk yang didapati dijual secara haram itu mengandungi Misoprostol 200 mcg yang dikelaskan sebagai Racun Jenis B dan hanya boleh diperoleh di klinik swasta atau dengan preskripsi di farmasi.

"Kegunaan utama tablet ini yang didaftarkan adalah untuk merawat ulcer dan penggunaannya selain daripada untuk rawatan ulcer boleh membawa maut dan tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tablet Cytotec merupakan produk berdaftar bernombor MAL19890225AR dengan pemegang pendaftaran adalah Pfizer (M) Sdn Bhd.

Beliau berkata syarikat Zuellig Pharma (M) Sdn Bhd yang dilantik untuk mengedarkan produk itu hanya boleh menjual tablet Cytotec kepada klinik perubatan swasta dan farmasi.

"Penjualan produk ini hanya dilakukan syarikat yang dilantik oleh pemegang pendaftaran," kata Dr Noor Hisham sambil menambah Kementerian Kesihatan tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau orang perseorangan sebagai agen bagi produk yang didaftarkan.

Beliau menasihati orang ramai untuk tidak membeli produk itu melalui Internet atau orang perseorangan kerana ia menyalahi undang-undang selain ketulinan dan kesahihan produk juga diragui. 

Orang awam boleh membuat aduan terus kepada kementerian supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab membahayakan kesihatan awam, katanya.
tablet Cytotec, gugur kandungan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain