suria

Isu ISIL, MH17 , Tumpuan Utama Perbahasan Perhimpunan Agung PBB

NEW YORK: Dua isu mengenai kekejaman yang dilakukan oleh Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) dan insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine akan menjadi tumpuan utama perbahasan pada sesi ke-69 Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba di sini pada 7.30 malam (7.30 pagi Ahad di Malaysia) mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan itu.

Insiden MH17 sekali gus akan mengalihkan perhatian kepada konflik Rusia-Ukraine dan ancaman yang ditimbulkan oleh puak pemisah yang disokong oleh Rusia di timur Ukraine. 

Kedua-dua isu itu dibangkitkan pada Jumaat oleh Menteri Luar Australia Julie Bishop semasa perbahasan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) peringkat menteri mengenai Iraq, yang dipengerusikan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry. (Pada hari itu juga, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berucap di UNSC).

Australia 'secara aktif terlibat' dalam kedua-dua isu seperti diberitahu oleh seorang pegawai Australia kepada Bernama yang tidak mahu namanya didedahkan. Malah, Bishop berkata tindakan ISIL menimbulkan ancaman bukan sahaja kepada Australia tetapi juga Asia Tenggara dan rantau lain. 

Menurut sumber Amerika Syarikat (AS) terdapat satu 'pembahagian tugasan' tidak rasmi antara AS dan Australia: AS menyelaras dengan negara Arab dan beberapa negara Arab yang menjadi sekutunya untuk membentuk pakatan memerangi ancaman ISIL, dalam pada itu, pegawai Australia pula menemui rakan sejawatan mereka dari beberapa negara Asia Tenggara terutama Filipina, Malaysia dan Indonesia untuk merangka strategi bagi memerangi ancaman ISIL.

Bishop berkata beberapa hari lepas, Australia telah menumpaskan sebuah kumpulan yang berpangkalan di Australia, yang mempunyai pengaruh ISIL. Media AS dan Australia melaporkan sekurang-kurangnya dua warga Filipina, 50 warga Indonesia, 20 rakyat Malaysia dan 200 rakyat Australia berada di Syria menyertai
pasukan ISIL. 

Memetik laporan perisikan, bekas Presiden Filipina Fidel V. Ramos baru-baru ini mendakwa bahawa kira-kira 100 rakyat Filipina kini menjalani latihan di Iraq sebagai pejuang jihad.

Filipina menggesa supaya usaha global dilancarkan bagi memerangi ISIL. Setakat ini, dua rakyat Filipina terkorban kerana berjihad untuk ISIL.

Bagaimanapun, satu lagi isu yang tidak kurang mendapat perhatian utama dalam perbahasan dan dibahaskan oleh masyarakat antarabangsa ialah keadaan di Ukraine dan insiden pesawat MH17 ditembak jatuh yang dikutuk seluruh dunia.

PBB

Artikel Lain