suria

Van Bergerak Meriahkan Kempen PRK Pengkalan Kubor

TUMPAT: Ketika tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor berbaki seminggu lagi, jentera parti yang bertanding kini semakin rancak mendekati hati pengundi dengan pelbagai cara.

Antara yang menarik perhatian ialah kempen bergerak menggunakan van yang memutarkan lagu dikir barat bagi menyampaikan mesej kepada pengundi.

Ketua Penerangan Umno Bahagian Tumpat Abdul Kadir Yaakob berkata, strategi kempen menggunakan van itu berjaya memasuki seluruh kampung sekitar DUN Pengkalan Kubor.

"Van itu bergerak setiap masa bermula pukul 10 pagi hingga lewat petang mengelilingi kampung dan kawasan tumpuan orang ramai dan kita memainkan lagu-lagu dikir barat yang mempunyai mesej kepada rakyat," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Beliau berkata, hasil pemerhatian, pihaknya mendapati kaedah itu memberi kesan kerana terdapat orang awam yang bersorak dan mengikuti lirik lagu dikir barat yang dimainkan itu dan ia sekali gus memeriahkan suasana berkempen.

Katanya van itu dikendalikan beberapa orang anak muda yang bertugas secara bergilir-gilir bagi merancakkan kempen BN di Pengkalan Kubor.

Seni kata lagu dikir barat itu bertumpu kepada mesej-mesej kerajaan yang ditujukan kepada pengundi bagi meraih pengundi untuk terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

PRK 25 Sept ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan Saharun Ibrahim daripada PKR dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

Pengkalan Kubor

Artikel Berikut

Artikel Lain