suria

Malaysia Mahu Kerjasama Lebih Kukuh Tingkat Keselamatan Penerbangan

KUALA LUMPUR: Malaysia mahu kerjasama lebih erat dalam kalangan negara termasuk soal berkongsi maklumat untuk meningkat keselamatan penerbangan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia percaya perlu ada sistem yang maklumatnya boleh dikongsi syarikat penerbangan mengenai risiko penerbangan dan untuk negara-negara memberi lebih banyak maklumat yang dikumpul agensi perisikan.

Beliau berkata penambahbaikan perlu dibuat berhubung kaedah pihak berkuasa penerbangan kebangsaan menyebarkan maklumat mereka.

"Perkataan dan janji yang diucapkan mesti ditukar kepada tindakan yang boleh menghalang tragedi berlaku.

"Ia mesti ditekankan bahawa berkongsi maklumat merupakan cara untuk menyelamatkan nyawa," katanya dalam satu kenyataan. -

Liow menegaskan selepas pasca nahas MH17, setiap pihak perlu melihat melebihi kepentingan negara dan keutamaan keselamatan bersama.

"Kita mesti komited membantu satu sama lain dalam berkongsi maklumat tentang bahaya penerbangan semasa kita cuba untuk memberi penghormatan kepada nyawa yang hilang di atas pesawat MH17 dan menjadikan ruang angkasa kita selamat kepada rakyat dunia," katanya.

Sementara Malaysia dan dunia sedang pulih dari kehilangan warga mereka dalam nahas MH17, beliau berkata Kuala Lumpur akan terus mencari setiap kaedah untuk membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah kejam itu ke muka pengadilan.

Selain itu, katanya kerajaan akan menunggu hasil penelitian yang dilakukan pasukan petugas bersama untuk mengesan yang ditubuhkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa(IATA) selain pasukan petugas Zon Konflik yang ditubuhkan ICAO.

"Kerajaan berminat untuk mengkaji semula cadangan daripada dua pasukan petugas ini berhubung tragedi MH17 dan kehilangan MH370," katanya.

Pesawat MH17 terhempas ketika ia dalam penerbangan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Ia ditembak di Ukraine.

Setakat ini 36 mayat rakyat Malaysia dibawa pulang secara berperingkat sejak 22 Ogos.

Pesawat MH370 pula yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 pagi pada 8 Mac didapati hilang dari skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa berada di ruang udara Laut Cina Selatan.
|
Ia sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Pencarian antarabangsa dilakukan untuk mencari MH370 di Laut Cina Selatan dan Laut Andaman sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi yang usaha mencarinya masih diteruskan sehingga sekarang. 

Artikel Berikut

Artikel Lain