suria

MH17: Tiga Lagi Mayat Warga Malaysia Belum Dikenal Pasti

KUALA LUMPUR: Tiga lagi mayat rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di timur Ukraine, belum dikenal pasti setakat ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lima lagi mayat rakyat Malaysia sudah dikenal pasti baru-baru ini dan sedang menjalani proses dokumentasi untuk dikeluarkan.

Sehingga kini, sebanyak 224 mayat mangsa insiden MH17 telah dikenal pasti dengan  74 mangsa masih dalam proses pengecaman, dan daripada 43 penumpang warga Malaysia, mayat 41 warga Malaysia terdiri daripada 26 penumpang dan 15 anak kapal sudah dikenal pasti.

"Esok, tiga lagi jenazah rakyat Malaysia, dua penumpang dan seorang anak kapal MH17 akan dibawa pulang ke tanah air," kata beliau pada sidang media mengenai MH17 dan MH370 di Kementerian Pertahanan di sini, Jumaat.

Hishammuddin turut memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan berputus asa dan komited sepenuhnya untuk mencari baki mayat penumpang rakyatnya.

"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Australia dan Netherlands melalui Gabungan Pasukan Petugas Antarabangsa Bersama (CIJTF), Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) dan pihak berkuasa barkaitan yang lain untuk masuk semula ke lokasi nahas.

"Kami akan mencuba yang terbaik untuk memasuki semula tapak nahas sebelum musim sejuk ini untuk mencari dan mengeluarkan baki mayat dan serpihan," kata Hishammuddin.

Menurutnya OSCE sedang mengkaji sama ada selamat bagi pihak berkuasa Malaysia memasuki kawasan konflik itu.

Hishammuddin mengulangi bahawa Kementerian Pengangkutan akan terus memberi tumpuan kepada proses siasatan dan usaha penyelarasan untuk membawa pelaku jenayah ini ke muka pengadilan.

"Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar dan Pejabat Peguam Negara mengenai perkara ini," katanya.

Keadaan di Timur Ukraine kini dilaporkan tidak selamat apabila gencatan senjata yang dipersetujui antara Kiev dan kumpulan pemisah Pro-Kremlin pada 5 September lepas telah dicabuli.

Pertempuran juga dilaporkan berlaku antara kedua-dua pihak. 

MH17 yang dinaiki 283 penumpang dan 15 anak kapal telah ditembak ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas, sebelum ia terhempas di timur Ukraine.

MH17, timur Ukraine

Artikel Sebelum

MH17: Tiga Jenazah Tiba Di KLIA

Artikel Berikut

Artikel Lain