suria

Mahkamah Tolak Saman Pasangan Suami Isteri Terhadap Syabas

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Khamis menolaksaman yang difailkan oleh pasangan suami isteri terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kerana melanggar kewajipan sebagai badan berkanun untuk membekalkan air bersih dan menyediakan tekanan air yang mencukupi ke rumah mereka.

Hakim Datuk Rosnaini Saub memerintahkan plaintif Hashim Maon dan isterinya, Sapiah Putih membayar kos RM10,000 kepada Syabas dan seorang lagi defendan, Mat Saman Mat Soom, yang ketika itu merupakan pemangku ketua Cawangan Gombak Syabas.

Rosnaini bagaimanapun membenarkan tuntutan balas Syabas terhadap pasangan itu bagi kerugian dan kerosakan kerana melakukan penyambungan haram bekalan air melalui pemasangan paip fleksibel yang tidak sah dan menyalahi undang-undang dan menikmati bekalan air secara percuma bagi tempoh 42 hari mulai 10 Jun 2011 hingga 21 Julai 2011. 

Mahkamah memerintahkan Hashim dan Sapiah membayar RM1,000 kepada Syabas bagi kos operasi dan RM194 untuk penggunaan air bagi tempoh 42 hari.   

Pasangan itu yang pada masa itu tinggal di rumah teres dua tingkat di Kampung Kerdas 2, Gombak, di sini, memfailkan saman itu pada 2012 berhubung kualiti air dan tekanan air rendah.

Rosnaini, dalam penghakiman setebal 20 muka surat itu berkata selepas mengkaji bukti, beliau berpendapat Hashim and Sapiah gagal membuktikan kes mereka terhadap Syabas berhubung dakwaan mengenai kualiti dan tekanan air.

Ketika menolak saman itu, beliau memutuskan bahawa plaintif gagal membuktikan tuntutan mereka atas imbangan kebarangkalian bahawa Syabas telah melanggar kewajipan mereka sebagai badan berkanun untuk membekalkan air ke rumah mereka kerana terdapat bukti bahawa kualiti air yang dibekalkan adalah mematuhi standard minimum yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Tambahan pula, beliau berkata tekanan air juga adalah sesuai bagi kawasan itu,yang menempatkan rumah plaintif.

Rosnaini berkata tiada bukti yang dikemukakan di mahkamah oleh pasangan itu untuk menunjukkan pemilik rumah di kawasan itu juga menghadapi masalah serupa mengenai tekanan air. 

"Seperti yang saya maksudkan, plaintif mungkin bertanggungjawab bagi masalah tekanan air kerana mereka melakukan pemasangan paip secara tidak sah," katanya.

Syabas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain