suria

Siasat Kumpulan Boikot Mat Sabu - Perwakilan

BATU PAHAT: PAS Pusat didesak menyiasat mengenai insiden memboikot Timbalan Presiden, Mohamad Sabu pada majlis perasmian Muktamar Pemuda PAS ke-55 pada Selasa lalu.

Kesal dengan cubaan memalukan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu, perwakilan Kuala Krai, Zulkifli Muhamad turut membidas sikap Pemuda PAS yang dianggap tidak matang.

"Siasat segera jika benar wujud cubaan untuk boikot timbalan presiden oleh perwakilan Pemuda PAS. Perkara ini tak sepatutnya berlaku," katanya ketika sesi perbahasan laporan tahunan pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di sini, Khamis.

Selasa lalu, ketika majlis perasmian Muktamar Pemuda PAS, wujud dakwaan kononnya terdapat kira-kira 50 perwakilan yang meninggalkan dewan muktamar dengan memakai vest bertulis 'kami menyokong presiden dan ulama.'

Bagaimanapun Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat menolak wujudnya gerakan atau kumpulan tertentu dalam sayap itu untuk menjatuhkan Mohamad.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, perbezaan pandangan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak boleh dianggap sebagai tindakan melawan presiden PAS itu.

"Kenapa sampai perlu tulis di baju dengan tulisan 'kami sokong presiden dan Majlis Syura Ulama'. Tak perlu tulis sebegitu kerana kita semua menyokong presiden.

"Tapi kita perlu faham bahawa berlainan pandangan tak semestinya dianggap lawan presiden," katanya.

PAS kini dilihat berhadapan dengan masalah dalaman apabila dikatakan wujud dua puak utama dalam parti itu membabitkan kem Abdul Hadi dan Mohamad.

Masalah itu dilihat berpunca daripada kenyataan Mohamad yang mengatakan pandangan Abdul Hadi berhubung isu menteri besar Selangor tidak mewakili pendirian rasmi PAS.

PAS

Artikel Lain