suria

Wisma Putra Jelaskan Sebab Penghantaran Pulang Pelajar Dari Moscow

Lapangan Terbang Antarabangsa Domodevo di mana pelajar Malaysia, M. Murugan Pillai tidak dibenarkan masuk ke Rusia.

KUALA LUMPUR: Pegawai kedutaan Malaysia di Moscow telah cuba mendapatkan akses kepada pelajar Malaysia yang tidak dibenarkan masuk ke negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Domodevo tetapi tidak diberi kebenaran sehingga pelajar berkenaan di dihantar pulang.

Wisma Putra dalam kenyataan malam Rabu, berkata pihak berkuasa Rusia tidak menyatakan sebab-sebab tidak membenarkan M. Murugan Pillai memasuki negara itu dan penghantaran pulang itu tertangguh kerana tiada tempat duduk untuk penerbangan pulang ke Malaysia.

Ia berkata, pelajar di National Research Medical University di Rusia yang tidak dibenarkan memasuki negara itu pada 2 September, ditahan di lapangan terbang tersebut dan seterusnya dihantar pulang pada Ahad lepas.

Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lepas. 

Wisma Putra berkata, kedutaan tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara ini tetapi sebaik sahaja menerima berita itu, pihak kedutaan cuba menghubunginya di lapangan terbang tersebut.

"Oleh kerana dia tidak didakwa, pegawai dari Kedutaan Malaysia tidak dapat berhubung dengannya tetapi dapat menghubungi pihak berkuasa Rusia," kata kementerian itu.

Ia berkata, para pegawai kedutaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Rusia untuk memastikan bahawa hak pelajar itu dijaga dan dilindungi.

"Malah, makanan dihidangkan tiga kali sehari semasa dia menunggu untuk menaiki penerbangan seterusnya pulang ke Malaysia," katanya. 

Kenyataan itu menyebut Jabatan Kawalan Sempadan Rusia mengeluarkan arahan kepada Murugan yang menyebut bahawa "menurut Bahagian 8 Perkara 26 Undang-undang Persekutuan bertarikh 15 Ogos 1996 No.114 - FZ, dia tidak dibenarkan memasuki Persekutuan Rusia sehingga 02.07.2016."

"Ia merupakan amalan antarabangsa bahawa setiap negara mempunyai hak untuk tidak membenarkan sesiapa memasuki wilayahnya," tambah kenyataan itu.

Murugan mendakwa bahawa walaupun beberapa kali cuba mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Moscow, tiada bantuan diterima sejak hari dia ditahan pada 2 September.

Dia juga mendakwa diberi makan hanya satu hidangan sehari.

Wisma Putra, M. Murugan Pillai

Artikel Sebelum

5 Bekas Tahanan ISA Di Syria

Artikel Berikut

Artikel Lain