suria

Pelajar UiTM Cedera Parah Ditikam Di Melaka

ALOR GAJAH: Seorang pelajar wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Alor Gajah cedera parah selepas ditikam sebanyak enam kali oleh seorang lelaki dalam satu rompakan di Pangsapuri Dimensi di Lendu di sini, awal pagi Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, DSP Abd Rahman Jid berkata ketika kejadian pada 5.30 pagi, Siti Irina Ridzwan, 20, pelajar Diploma Komunikasi Massa sedang nyenyak tidur di sebuah bilik di tingkat satu pangsapuri berkenaan manakala empat lagi rakannya berada di dua bilik berasingan.

Beliau berkata mangsa yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan kemudian didatangi seorang lelaki berumur 30-an yang bertindak menekan dada wanita tersebut dan memintanya untuk diam.

"Mangsa bertindak melawan dan menjerit sebelum suspek menikam mangsa menggunakan pisau sebanyak enam kali di bahagian dada dan tangan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya suspek kemudian melarikan diri dengan terjun dari balkoni bersama dua kunci kereta dan tiga beg duit milik mangsa dan rakannya.

Abd Rahman berkata rakan Siti Irina yang menyedari kejadian itu kemudian menghubungi ambulan sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek memasuki pangsapuri berkenaan melalui pintu di bahagian balkoni yang tidak berkunci.

Katanya polis menahan dua lelaki dipercayai rakan suspek yang turut tinggal di blok sama pangsapuri itu pada 6.30 pagi tadi bagi membantu siasatan.

Polis turut menjumpai dua kunci kereta jenis Hyundai dan Proton dipercayai hasil rompakan itu selain parang dan kerambit, katanya.
Rompak, UiTM Alor Gajah

Artikel Berikut

Artikel Lain