suria

MH17: Hishammuddin Ke Ukraine Percepat Akses Masuk Ke Lokasi Nahas

Hishammuddin (kanan) memberi kata-kata perangsang kepada anggota tentera pada majlis penghantaran kumpulan MALBATT 850-2 ke Lebanon di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang pada Khamis.- fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan berlepas ke Ukraine hujung minggu ini dalam usaha mempercepatkan akses semula Malaysia ke lokasi nahas pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang terhempas di timur Ukraine.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad dijangka berlepas malam ini tetapi beliau akan ke Kiev tidak lama lagi berikutan keputusan Kabinet.

"Perdana Menteri meminta saya untuk pergi ke Kiev bagi mendapat persetujuan dengan kesemua pihak terlibat untuk membenarkan pasukan penyiasat kita kembali semula ke kawasan nahas.

"Kabinet bersetuju bahawa tindakan segera perlu diambil oleh Malaysia berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghantar sejumlah 213 anggota Kumpulan Pertama Malaysian Battalion 850-2 (Malbatt 850-2) berlepas ke Lubnan bagi menjalankan misi Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) selama 12 bulan pada Khamis.

Jelas Hishammuddin, beliau akan berlepas ke Kiev diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

"Misi utama saya adalah untuk memastikan laluan selamat ke kawasan nahas supaya penyiasat boleh meneruskan kerja mereka dalam mengesan mangsa nahas MH17.

"Kami berharap kerajaan Ukraine dan kumpulan pemisah akan membenarkan permintaan ini," katanya.

Hishammuddin berkata, beliau juga akan berlepas ke Rusia dan Belanda bagi menyelaras dan membincangkan operasi pencarian dan membawa individu yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 ke muka pengadilan.

"Keadaan di timur Ukraine masih tegang tetapi kita tidak akan berhenti untuk kembali ke lokasi nahas," katanya.

Hishammuddin Hussein, MH17, Kiev

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain