suria

Jangan Salahkan Polis Jika Pendakwaan Lewat - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak harus dipersalahkan jika pendakwaan terhadap sesuatu kes mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis hanya mempunyai kuasa melakukan siasatan kes tetapi pendakwaan di mahkamah ditentukan oleh Peguam Negara.

"Polis buka kertas siasatan dan bila ia siap, Peguam Negara yang akan buat pendakwaan.

"Jangan salahkan polis, tuduh polis macam-macam, tapi Insya-Allah polis 'dibawah' saya tetap akan lakukan yang terbaik untuk semua," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Segambut di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab isu yang dibangkitkan Ketua Umno Bahagian Segambut, Datuk Kamarudin Ambok dalam ucapannya terdahulu.

Kamarudin membangkitkan mengenai isu tempoh yang lama diambil untuk mendakwa individu atau kumpulan tertentu yang sebelum ini membuat kenyataan-kenyataan menghina agama Islam, bangsa Melayu, Yang Dipertuan Agong dan pemimpin negara, khususnya di laman-laman sosial.

Zahid yang juga Naib presiden Umno berkata, dalam situasi ini masyarakat harus faham bahawa Peguam Negara juga mempunyai pertimbangannya sendiri.

"Peguam Negara ada pertimbangan kes, yang mahu dipercepat berdasarkan senarai keutamaannya.

"Saya tak bertelagah dengan Peguam Negara, tetapi saya bawa suara daripada akar umbi yang mahu kes-kes kenyataan menghina di laman sosial segera didakwa," katanya merujuk isu yang dibangkitkan Kamarudin.

Ahli Parlimen Bagan Datoh ini juga mengakui pendakwaan segera adalah perlu supaya kedudukan kerajaan tidak boleh dipertikai.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan-kenyataan menghina di laman sosial, beliau berkata ia wujud kerana protokol atau persetujuan sosial media yang tidak menghalang kebebasan bersuara dan memberikan pandangan.

"Dasar langit terbuka, dunia tanpa sempadan, inilah 'harga' yang perlu kita bayar.

"Kita tinggal di Malaysia, jadi sistem politik dan budaya mestilah mengikut acuan Malaysia," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain