suria

Membangunkan Jiwa Patriotisme Melalui Sukan

Khoo Kay Kim
KUALA LUMPUR: "Kami semua minat sukan. Saya masih ingat bagaimana orang ramai berpusu-pusu membeli radio termasuklah bapa saya untuk mengikuti perlawanan akhir badminton (Piala Thomas), Tanah Melayu lawan Amerika Syarikat yang diadakan di Singapura tahun 1952.

"Ketika itu, siaran langsung diadakan melalui Radio Malaya. Pertama kali, saya dapat mendengar radio di rumah sendiri dan begitu teruja. Semua bersatu hati atas semangat kesukanan sejati. Sukan, sangat berkesan menyatukan kami,".

Itu cerita pengkritik sukan negara dan sejarahwan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim ketika mengimbau kembali nostalgia sambutan sukan pada era sebelum dan awal negara mengecapi nikmat kemerdekaan.

Tidak kiralah sukan bola sepak, badminton atapun hoki, peringkat sekolah, negeri, mahupun negara, itulah hiburan mereka pada masa itu.

Masyarakat, tanpa adanya sempadan bangsa hadir beramai-ramai memberikan sokongan.

Malahan, destinasi jauh atau dekat bukan halangan untuk mereka menjadi penonton, kata Khoo sambil wajah tidak lekang mengukir senyuman dek keterujaan menceritakan semangat sukan ketika itu.

Jiwa mereka kepada sukan begitu kental sehingga mendorong orang kampung pergi ke bandar untuk menonton pelbagai acara kejohanan sukan biarpun dengan hanya menggunakan basikal!


KINI TIADA LAGI

Panas, hujan, letih, semuanya diketepikan, atas nama cinta dan patriotisme untuk melihat pasukan negeri, negara mengecapi kejayaan.

Bayangkan, awal tahun 1975, kemudahan pengangkutan masih terhad tetapi, 50,000 orang membanjiri stadium Merdeka untuk memberi sokongan kepada pasukan hoki Malaysia yang ketika itu dalam persaingan separuh akhir menentang India.

"Itu merupakan rekod dunia. Saya selalu bergurau, nasib baik Malaysia kalah. Kalau masuk peringkat akhir mungkin 100,000 orang hadir dan Stadium Merdeka runtuh.

"Bagaimanapun, kedudukan sukan hari ini tidak lagi seperti dulu. Sebagai seorang yang pernah aktif dan begitu gilakan sukan, saya sangat sedih melihat perkembangan sukan negara," kata Khoo kepada Bernama.

Dalam kehidupan masyarakat masa ini, sukan tidak lagi diberi keutamaan serta selalu menjadi pilihan kedua. Ibu bapa, tidak memberikan galakan kerana melihat sukan sebagai aktiviti membuang masa.

Biarpun bukan semua, tetapi segelintir besar tonggak keluarga hari ini lebih cenderung mengatur jadual anak-anak dengan pengisian ilmiah seperti mengikuti kelas tambahan selepas sekolah.

Ada juga ibu bapa enggan melepaskan anak-anak aktif bersukan kerana tidak mahu balik dengan pakaian kotor ataupun risau dengan keselamatan mereka ekoran pelbagai kes jenayah dilaporkan.

Justeru, tidak menghairankan apabila padang sewaktu ketika dahulu sentiasa dipenuhi dengan anak-anak muda sebaik sahaja mencecah jam 4 petang, kini sudah jarang kelihatan, kata Khoo.


FASILITI BUKAN ISU

Sedangkan anak-anak hari ini bernasib baik. Semua kemudahan bermain sukan ada, kata Khoo.

Berbanding zaman kanak-kanaknya, kemudahan yang ada tidaklah seperti mana hari ini. Asalkan ada ruang atau laman kecil di mana-mana sudah boleh dijadikan tapak bersukan.

Sebagai contoh, ketika skuad badminton Tanah Melayu berjaya menjadi juara dunia buat kali pertama pada tahun 1949, Piala Thomas, mengalahkan Denmark, ramai teruja membina gelanggang sendiri di luar rumah.

Kekurangan kemudahan bukan isu, malahan beliau bersama rakan-rakannya sanggup bersusah-payah dan merentasi berpuluh-puluh kilometer hanya kerana ingin bermain sukan.

"Saya masih ingat bagaimana kami menaiki bas dari Teluk Intan ke Hutan Melintang dan menaiki sampan menyeberangi Sungai Bernam, untuk sampai ke sebuah estet dan bertemu pasukan bola sepak sana. Menggembirakan, kami menang," katanya.

Bolehkah, anak-anak hari ini buat seperti itu, tanya Khoo.

Sedangkan, kemudahan sukan hari ini lebih mencukupi. Sekiranya risau keselamatan anak-anak bermain di luar, ibu bapa boleh memilih pendekatan permainan dalam bangunan seperti bola sepak tertutup, bola keranjang, badminton dan sebagainya.

Yang menjadi penentuannya, adalah sama ada mahu atau tidak sahaja.


SUKAN, NEGARA BANGSA

Walhal, sukan adalah platform terbaik memangkin semangat patriotisme dan melentur semangat kekitaan tanpa mengira latar belakang, agama serta keturunan.

Keberkesanannya menyemai rasa cinta kepada negara, turut tercatat jelas dalam perjalanan Malaysia membentuk negara bangsa sebelum mengecapi kemerdekaan, kata Khoo yang juga merupakan sejarawan negara.

"Tidak boleh jadi negara bangsa kalau rakyat tidak bersatu padu. Semangat perpaduan rakyat ketika itu disemai melalui sukan. Jangan lupa, ketika Tanah Melayu menang Piala Thomas pada tahun 1949, ketika itu masa darurat.

"Apabila kita juara, semuanya gembira dan bangga dengan kejayaan itu," katanya sambil berkata Tanah Melayu telah menyertai sukan Olimpik sebelum Merdeka tahun 1956.


SALING MEMBANTU

Bukan hanya rakyat sahaja meminati sukan, tetapi juga pemimpin. Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman juga seorang yang sangat aktif bersukan.

Beliau yang meminati bidang sukan sejak kecil amat meminati bola sepak selain pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu.

"Beliau pernah mewakili St.Catherine College, Universiti Cambridge dalam sukan bola sepak pada tahun 1930 ketika menuntut di situ.

"Sehinggakan beliau memilih membina stadium Merdeka untuk pengisytiharan kemerdekaan dan menjadi tempat orang berkumpul yang selepas itu menjadi tumpuan pelbagai kejohanan sukan," kata Khoo ketika menceritakan peranan sukan dalam pembentukan negara bangsa.

Dalam pada itu, kefahaman dan kemuafakatan antara kaum dipereratkan dengan pergabungan ilmu, kemahiran sesama mereka.

Contohnya, pada lewat tahun 1940-an, negeri Johor mempunyai seorang pemain bola sepak yang hebat, dikenali sebagai Dollah Don.

Disebabkan beliau tangkas dalam permainan, pasukan Cina bola sepak negara ini berminat untuk menjemputnya bermain bersama-sama di China.

Istimewanya, penonton di sana begitu tertarik dengannya sehingga memberikan nama Cina kepada Dollah, Toh Ah Tong.


SEMARAK KEMBALI

Disebabkan itulah, ibu bapa harus menyedari kepentingan sukan kerana sudah terbukti ia merupakan platform terbaik penyatuan kaum, tegas Khoo.

Bukannya memanjakan mereka dengan kepelbagaian gajet yang menjadikan anak-anak tidak bergaul ataupun fokus kepada peperiksaan semata-mata.

Bagaimanapun, hambarnya minat pada sukan negara tidak hanya bertimbal balik kepada dua aspek itu sahaja (ibu bapa dan gajet) tetapi prestasi segelintir atlet negara yang mengecewakan, antara punca kelunturuan minat, kata Khoo.

"Mengapa mereka lebih tertarik dengan perlawanan luar negara seperti Arsenal lawan Liverpool kerana pencapaian sukan negara yang mengecewakan. Antaranya, kejohanan sepak takraw.

"Boleh dikatakan kitalah mencipta permainan itu tetapi sekarang lawan dengan Korea pun kalah," katanya.

Semangat ahli sukan dahulu dan sekarang adalah jauh beza, tambahnya.

Biarpun tidak dibayar ataupun mendapat gajaran serta status gelaran, namun mereka mempunyai semangat berkobar-kobar, patriotisme tinggi untuk membawa balik kejayaan disebabkan rasa cinta kepada negara.

Semangat ini harus dicontohi oleh atlet hari ini, tambah Khoo.


SEKOLAH MAIN PERANAN PENTING

Bagaimanapun, kegemilangan sukan boleh bersemarak kembali dengan memberi penekanan seimbang, pelajaran dan sukan, selain memilih jurulatih sukan berbanding menggunakan guru yang tidak berkelayakan mengajarnya.

Semua ini dapat dilakukan, apatah lagi apabila kerajaan memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan, bagi meningkatkan mutu sukan negara dengan melahirkan lebih ramai lagi bakal-bakal atlet cemerlang.

"Sudah tiba masanya, tumpuan besar harus diberikan kepada sukan kerana dari situ semangat cinta sesama bangsa dapat disemai lantas membentuk patriotisme ke arah mencapai kejayaan dan membangunkan jiwa merdeka," katanya.
Khoo Kay Kim, Merdeka

Artikel Sebelum

Artikel Lain