suria

Krisis Selangor: AMK Salahkan PAS

Shamsul Iskandar
SHAH ALAM: PAS sekali lagi dipersalahkan dan dianggap sebagai punca kemelut politik berpanjangan di Selangor, khususnya membabitkan kerusi panas menteri besar.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kegagalan pemimpin utama dalam sekutu Pakatan Rakyat (PR) memberikan komitmen terhadap isu pertukaran menteri besar hampir memecahbelahkan kerjasama politik antara PKR-DAP-PAS.

Malahan, Shamsul secara sinis dilihat menempelak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menolak cadangan PKR untuk menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 23 Julai lalu.

Untuk rekod, Hadi tidak hadir pada mesyuarat itu dan beliau hanya diwakili timbalannya, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

"Sekiranya wakil yang dihantar, maka dia harus mempunyai autoriti untuk membuat keputusan. Menghantar wakil yang tidak dapat memberikan kata putus akan menggagalkan proses ini.

"Lebih parah sekiranya persetujuan yang dicapai disanggah oleh pemimpin utama parti yang tidak menghadiri mesyuarat," kata Shamsul pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK pada Kongres Nasional ke-10 di sini.

Ini merupakan kali kedua Shamsul menggunakan pentas Kongres AMK untuk 'membelasah' Hadi. Tahun lalu, Ahli Parlimen Bukit Katil itu menyelar Hadi kerana mencerca calon PKR ketika berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Ketika itu, Shamsul turut menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan Hadi mengeluarkan surat watikah kepada calon PAS di kawasan yang telah dipersetujui menjadi kerusi PKR.

Mengulas lanjut, Shamsul juga membidas sikap sesetengah pimpinan PAS apabila mengeluarkan pelbagai pandangan yang dilihat tidak menguntungkan PR.

"Pergantungan kepada penasihat di balik tabir, di luar daripada proses mesyuarat bersama menyukarkan lagi keadaan," katanya.

Kenyataan itu dilihat merujuk kepada beberapa pandangan pimpinan PAS termasuk Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama PAS Pusat sebelum ini yang menolak pencalonan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar.

"Jika diteliti, krisis ini sebahagian besarnya berpunca daripada tiadanya komitmen kepada proses musyawarah dan disiplin untuk mematuhi keputusan yang dicapai.

"Kita bersyukur krisis ini tidak berjaya memecah belahkan kesepakatan di dalam Pakatan Rakyat. Kita rakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada PAS yang mempertegaskan komitmen mereka untuk bersama Pakatan Rakyat," katanya.

PAS, PKR, Pakatan Rakyat, Selangor

Artikel Lain